Hafizh lulus ujian pertama

Sunday, March 18, 2018

Hafizh lulus ujian pertama

Hafizh lulus ujian pertama

KUALA LUMPUR: Saya sudah lulus peperiksaan pertama! 

Itu kata pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah selepas menempatkan dirinya di grid ke-15 untuk perlumbaan pertamanya dalam kelas perdana di Grand Prix (GP) Qatar, tengah malam tadi.

Hafizh mencatat 1 minit 55.258 saat pada sesi kelayakan untuk memulakan perlumbaan dari barisan kelima bersama dua lagi pelumba iaitu Aleix Espargaro (ke-13) dan seorang lagi muka baharu dalam kelas MotoGP, Franco Morbidelli (ke-14).

Catatan pelumba Monster Yamaha Tech3 itu juga meletakkan dirinya selaku muka baharu kedua terpantas dalam sesi berkenaan selepas Morbidelli dari pasukan EG 0,0 Marc VDS.

"Alhamdulillah, dapat kedudukan di kelompok 15 terbaik dan saya akan cuba mengungguli senarai muka baharu nanti," kata Hafizh. 

"Apa yang paling penting ialah dapat menamatkan perlumbaan kerana bagi saya banyak yang perlu dipelajari lagi. Pasukan juga hanya meletak sasaran untuk saya dapat menamatkan perlumbaan.

"Sekiranya dapat meraih mata, itu adalah satu bonus dan motivasi berguna untuk saya. Doakan saya dapat buat yang terbaik."

Selain Hafizh, turut berada dalam senarai muka baharu ialah rakan sepasukan Morbidelli, Thomas Luthi, Takaaki Nakagami (LCR Honda IDEMITSU) dan Xavier Simeon (Reale Avintia Racing).

Perlumbaan bagi kelas MotoGP dijadual berlangsung pada jam 12 tengah malam ini dengan rakan sepasukan Hafizh dari Perancis, Johann Zarco bakal memulakan saingan dari petak pertama.

Dalam sesi kelayakan itu juga, Zarco berjaya memadamkan rekod terpantas di Litar Losail yang sebelum ini dilakukan pelumba Sepanyol, Jorge Lorenzo dengan catatan baharu, 1'53.680s.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment