'Lebih daripada apa yang saya harapkan'
PELUMBA Malaysia, Hafizh Syahrin menyifatkan debutnya dalam saingan MotoGP musim ini bermula dengan sangat baik.
Dipetik melalui laman rasmi pasukan, Hafizh berkata, kejayaannya meraih kedudukan ke-14 sekali gus mengutip dua mata untuk pasukan sudah lebih malampaui apa yang beliau harapkan dalam perlumbaan pertama ini.
"Saya mengakhiri perlumbaan MotoGP pertama saya dengan maraih dua mata, yang mana ini melebihi apa yang saya harapkan sebelum ini.
"Ini memberi satu pengajaran bahawa jika anda benar-benar fokus untuk mencapai apa yang anda mahukan, semuanya tidak mustahil untuk dicapai.
"Sudah tentu saya gembira dengan pencapaian ini. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pasukan kerana telah melakukan kerja dengan sangat baik," katanya.
Sebelum ini, Hafizh mencatat 1 minit 55.258 saat pada sesi kelayakan untuk memulakan perlumbaan dari barisan kelima bersama Aleix Espargaro (ke-13) dan seorang lagi muka baharu dalam kelas MotoGP, Franco Morbidelli (ke-14).
Dalam perlumbaan sebenar, Hafizh yang digelar El Pescao 55 pada mulanya berada di posisi ke-16 dengan berbaki 15 lap.
Bagaimanapun beliau berjaya naik ke kedudukan ke-15 selepas pelumba Suzuki, Alex Rins mengalami kecelakaan dan gagal meneruskan perlumbaan di 10 lap terakhir.
Satu lap selepas itu, Hafizh terus memperbaiki kedudukannya di tangga ke-14 selepas Jorge Lorenzo pula terjatuh dan mengakhiri saingan.
Hafizh terus mempertahankan kedudukan itu sehingga tamat perlumbaan sekali gus menjadi dua pelumba rookie terbaik dalam saingan pertama ini.
Bagi Hafizh, kejayaan ini akan menjadi pembakar semangat buatnya beraksi lebih baik di perlumbaan berikutnya.
"Saya berharap di perlumbaan berikutnya saya akan beraksi lebih baik daripada ini dan saya akan bekerja lebih keras untuk terus memberi saingan kepada pelumba-pelumba lain," katanya lagi.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment