Cungkil bakat pemain wanita

Saturday, March 24, 2018

Cungkil bakat pemain wanita

Cungkil bakat pemain wanita

SERAMAI 130 pemain bola sepak wanita bawah 12 tahun mengikuti Festival Akar Umbi Bolasepak Wanita FIFA/FAM 2018 yang diadakan di Stadium Mini Pendang, semalam.

Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang juga Adun Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob berkata, program tersebut dirangka khusus untuk mencungkil bakat pemain wanita terutamanya di peringkat akar umbi.  

“Program ini adalah salah satu aktiviti yang dirangka oleh FAM tahun ini. Di Kedah, program ini adalah kesinambungan dalam meneruskan kejayaan skuad wanita Kedah yang menjuarai Liga Bolasepak Rakyat (LBR) Wanita dan Naib Juara Piala Tun Sharifah Rodziah pada 2017.

“Program peringkat akar umbi penting untuk melahirkan lebih ramai bakat baru untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan,” katanya.

Menurutnya, pendekatan ini adalah salah satu objektif FAM untuk melihat lebih banyak program sebegini dijalankan di seluruh negara.

Suraya berkata, festival akar umbi itu dibawa khas ke Kedah oleh kakitangan Unit Wanita FAM yang diwakili Normala Rashid.

Selain program pengenalan pada bola sepak, turut dianjurkan perlawanan bola sepak 9 sebelah wanita yang menyaksikan Kedah A muncul juara dan membawa pulang hadiah pingat dan wang tunai RM500.

Tempat kedua menjadi milik Kedah B diikuti Perlis A di tempat ketiga dan Perlis B di tempat keempat.

Festival ini dirasmikan isteri Menteri Besar Kedah, Datin Seri Hizam Awang.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment