Bekas Ahli Parlimen Sabak Bernam bebas tuduhan

Wednesday, March 28, 2018

Bekas Ahli Parlimen Sabak Bernam bebas tuduhan

Bekas Ahli Parlimen Sabak Bernam bebas tuduhan

PUTRAJAYA - Bekas Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Abdul Rahman Bakri dan pembantunya, Rosli Busro kekal bebas daripada lapan pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM80,000 10 tahun lalu.

Mahkamah Rayuan hari ini, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, yang melepas dan membebaskan Abdul Rahman dan Rosli selepas menolak rayuan pihak pendakwaan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Mohd Zawawi sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat beberapa elemen pertuduhan yang menimbulkan keraguan dari sudut undang-undang.

Korum itu turut dianggotai Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Rodzariah Bujang.

Ketika membuat keputusan itu, Mohd Zawawi berkata, keraguan tersebut termasuk kegagalan menentukan siapakah prinsipal tersebut dan sama ada terdapat elemen niat dalam perbuatan.

“Kami bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa terdapat elemen kecuaian, namun tidak terdapat elemen curang terhadap tertuduh. Oleh itu, kami menolak rayuan pendakwaan.

"Kedua-dua responden dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Mohd Zawawi turut menasihati semua pihak agar berhati-hati membuat sebarang tuntutan.

Sementara itu, sejurus keputusan diumumkan, Abdul Rahman dan Rosli berpelukan, dan menitiskan air mata.

Pada 11 Oktober 2012, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 29 Februari 2012 yang menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM400,000 atas lapan kesalahan menggunakan dokumen peruntukan palsu iaitu Surat Adun mengandungi butiran bagi tuntutan program serta aktiviti yang tidak pernah dijalankan.

Kes berkenaan dibawa ke Mahkamah Rayuan sebelum mahkamah tersebut memerintahkan ia dikembalikan ke Mahkamah Tinggi dan dilepas serta dibebaskan pada 27 Mei 2016.

 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment