ASEAN bakal huru hara jika berdiam isu Rohingya - Najib

Saturday, March 17, 2018

ASEAN bakal huru hara jika berdiam isu Rohingya - Najib

ASEAN bakal huru hara jika berdiam isu Rohingya - Najib

SYDNEY, AUSTRALIA: Datuk Seri Najib Razak, memberi amaran yang rantau ASEAN bakal berdepan huru-hara, sekiranya krisis kemanusiaan di wilayah Rakhine, Myanmar, tidak ditangani sewajarnya.

Perdana Menteri memberitahu Canberra dan pemimpin ASEAN lain, berdasarkan skala penindasan dihadapi etnik Rohingya serta perpindahan penduduk di wilayah itu, keadaan di wilayah Rakhine tidak boleh lagi dianggap sebagai urusan domestik Myanmar.

Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi, turut berada dalam kalangan hadirin pada acara penutup Persidangan Pencegahan Keganasan Sidang Kemuncak ASEAN-Australia, ketika Najib menyampaikan pandangan mengenai situasi di Rakhine yang berkemungkinan mencetuskan ancaman keselamatan di rantau itu.

Perdana Menteri berkata, masalah itu tidak boleh dilihat dari sudut kemanusiaan saja, kerana ribuan penduduk yang hidup dalam kesengsaraan serta tiada masa depan, berkemungkinan menjadi alat radikalisasi dan direkrut kumpulan yang mempunyai kaitan dengan DAESH.

"Wilayah itu bukan setakat berpotensi menjadi kawasan panas kepada jenayah rentas sempadan, malah isu lain termasuk keganasan serta pergerakan individu tidak teratur.

"Kita perlu berjaga-jaga dan meningkatkan kerjasama kerana kejatuhan wilayah utama DAESH di Iraq dan Syria memaksa mereka bergerak secara bawah tanah dan muncul di tempat lain, terutama kawasan dilanda krisis," katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia sentiasa bersedia membantu mencari penyelesaian yang adil untuk keganasan di Rakhine, seperti mana Kuala Lumpur memberikan kerjasama kepada negara jirannya meneruskan misi keamanan di selatan Filipina dan Thailand.

Najib menegaskan, tidak ada satu negara mampu membanteras keganasan secara sendirian, sehubungan itu, beliau menggesa pemimpin kerajaan yang berkumpul di Sydney, untuk meningkat dan memperhebatkan kerjasama bagi mencegah penyebaran ideologi keganasan.

Katanya, adalah sangat penting pendekatan efektif dalam mencegah ancaman radikalisasi dan keganasan ektremism di rantau Asia Pasifik, terus diasah.

Pada persidangan itu, kesemua pemimpin ASEAN menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani, berdasarkan komitmen kolektif setiap kerajaan untuk bersama-sama menangani ancaman pengganas dan keganasan ekstremis.

MoU itu ditandatangani Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi dan Menteri Dalam Negeri Australia, Peter Dutton.

Najib berkata, MoU itu bagi memperkukuhkan fokus kesemua negara terhadap pencegahan keganasan, sivil maritim, keselamatan, pengurusan sempadan, menangani penyeludupan manusia, selain pertukaran informasi dan kepakaran.

Kerjasama pencegahan keganasan ASEAN juga akan bekerjasama dengan lebih dekat untuk mengetatkan jerut pembiayaan keganasan.

Najib dalam ucapannya, berkata Malaysia mempunyai rekod yang konsisten dan panjang dalam menangani pengganasa dan keganasan fahaman pelampau dan berkongsi dengan negara lain undang-undang serta mekanisma yang digunakan untuk memastikan negara dan rantau ini selamat.

Katanya, Kuala Lumpur menggunakan Majlis Keselamatan Negara, Akta Pencegahan Keganasan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) kerana Malaysia bertekad untuk tidak hanya bertindak apabila kekejaman berlaku.

"Jika kita inginkan keberkesanan dalam usaha menyelamatkan nyawa, peruntukan perundangan berkaitan perlu digubal bagi menangani tindakan keganasan, berbanding hanya menanti kesannya.

"Perundangan ini sudah menyelamatkan banyak nyawa, termasuk rakyat Malaysia dan warga asing. Saya dengan penuh bangga mengatakan bahawa tiada sebarang tindakan keganasan yang pernah berlaku di bumi Malaysia sehingga menyebabkan nyawa terkorban," katanya.

Najib turut menyentuh mengenai usaha dirintis Malaysia menerusi Gerakan Kesederhanaan Global yang diketengahkan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2010, sekali gus menyaksikan penubuhan Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global di Kuala Lumpur, berteraskan matlamat menyemai budaya bagi menangkis elemen keganasan daripada berakar umbi.

Selain itu, katanya, Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Malaysia ditubuhkan untuk memperbetulkan tanggapan salah di peringkat antarabangsa mengenai Islam dan dakyah berunsur hasutan didalangi Daesh serta pengganas lain yang disebarkan menerusi dalam talian.

Najib berkata, kegusaran itu timbul susulan penyebaran propaganda Daesh menerusi dalam talian boleh meresapi lebih 300 juta Muslim di rantau ini.

"Pelaksanaan langkah ini selaras matlamat memperkukuhkan semua sumber untuk memberikan naratif sebenar mengenai ajaran Islam, khususnya membabitkan belia dalam memerangi gerakan radikalisasi menerusi dalam talian yang didalangi Daesh," katanya.

Ketika memberikan penjelasan kepada seluruh pemimpin ASEAN dan Canberra, Najib berkata, kesatuan dalam berganding bahu menentang ancaman mendatang adalah pemangkin kejayaan terhadap usaha berkenaan.

"Contohnya, Ops Redback membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Pengawal Sempadan Australia menerusi inisiatif rondaan Selat Melaka, berjaya merapatkan Malaysia, Indonesia, Singapura serta Thailand.

"Mekanisme sama turut diterapkan dalam pelbagai strategi membabitkan laluan air seperti di Laut Sulu, di mana pihak berkuasa Malaysia, Indonesia dan Filipina berganding bahu membendung kegiatan penculikan serta lanun di kawasan terbabit," katanya pada ucaptama yang senada dengan rakan setugasnya, Malcolm Turnbull.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment