Agenda perumahan, kebajikan warga ATM diutamakan
KOTA BHARU: Kementerian Pertahanan akan melancarkan Pelan Induk Pembangunan atau blueprint perumahan untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam masa terdekat.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata blueprint itu akan menyediakan lebih banyak kemudahan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) kepada tentera.
Katanya, langkah itu bukti keprihatinan Kerajaan Persekutuan yang mengambil berat kebajikan pegawai dan anggota tentera yang menjaga kedaulatan negara.
"Di bawah blueprint ini sebanyak 40,627 unit RKAT akan dibina di seluruh negara. Jumlah ini termasuk 9,096 unit yang sudah dan sedang dibina.
"Pembinaan baki 31,531 unit akan dilaksanakan secara berfasa hingga siap sepenuhnya pada 2030," katanya selepas Majlis Ramah Mesra Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama Warga Kem Desa Pahlawan di sini, hari ini.
Beliau kemudian merasmikan 384 unit RKAT Taman Pahlawan bernilai RM97.52 juta.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Kementerian Pertahanan (MINDEF) juga akan membina lebih banyak Rumah Mampu Milik (RMM) di seluruh negara di bawah Program Satu Anggota Satu Rumah dalam tempoh lima tahun.
Sementara itu, ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra Menteri Pertahanan bersama warga 1 Rejimen Sempadan (1RS) di kem Batu Sebelas, Jeli, Hishammuddin menegaskan enam teras strategik bagi memperkasakan ATM bukan agenda politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kerana ia sudah dirancang empat tahun lalu.
"Sebab itu saya mula turun ke kem di seluruh negara bagi memberi penjelasan sebenar kepada anggota tentera sejak kebelakangan ini.
"Kita menjanjikan kepada mereka bahawa agenda itu tidak bermusim tetapi perlu mendapat mandat untuk merealisasikannya," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment