4 lelaki disyaki pengganas didakwa esok

Saturday, March 24, 2018

4 lelaki disyaki pengganas didakwa esok

4 lelaki disyaki pengganas didakwa esok

JOHOR BAHRU: Tiga lelaki tempatan disyaki terbabit kumpulan pengganas yang merancang melancarkan serangan di negeri ini, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), esok.

Ketua Cawangan Khas Johor, Senior Asisten Komisioner Ahmad Ramdzan Daud, berkata mereka adalah sebahagian daripada keseluruhan tujuh suspek ditahan baru-baru ini, termasuk seorang warga Indonesia.

Katanya, suspek warga Indonesia terbabit bagaimanapun akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, esok.

"Kesemua tujuh individu berkenaan ditahan dalam operasi dari 27 Februari hingga 1 Mac lalu di beberapa kawasan sekitar negeri ini.

"Empat lelaki daripadanya yang akan didakwa ini, termasuk seorang warga Indonesia, berusia antara 19 hingga 45 tahun serta bekerja di syarikat swasta dan sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Perhimpunan Peringatan Hari Polis ke-211 peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Ahmad Ramdzan berkata, kesemua tujuh suspek ditahan itu disyaki terbabit pakatan pembelian senjata api dari Thailand, selain merancang melakukan serangan di rumah ibadat bukan Islam dan menyerang anggota polis di Johor.

Katanya, mereka dipercayai aktif melakukan perancangan serangan sejak enam hingga lapan bulan lalu.

"Melalui tangkapan itu, polis juga merampas sejumlah dadah pelbagai jenis dipercayai untuk dijual bagi membiayai kegiatan kumpulan ini.

"Polis Johor percaya kesemua ditahan ini ada kaitan dan bergerak dalam kumpulan. Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara itu," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment