Tiada sebab nak merajuk fokus bantu calon bertanding

Saturday, April 28, 2018

Tiada sebab nak merajuk fokus bantu calon bertanding

Tiada sebab nak merajuk fokus bantu calon bertanding

PORT DICKSON: Tan Sri Mohd Isa Samad membuktikan dirinya seorang yang 'gentleman' dan tidak ada perasaan merajuk apabila sama-sama menemani calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Port Dickson, Datuk V.S Mogan ke penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Kompleks Pentadbiran Daerah, di sini, hari ini.

Bahkan, Mohd Isa menegaskan, beliau sendiri yang mencadangkan supaya Mogan dicalonkan BN untuk Parlimen Port Dickson yang sebelum ini dikenali Parlimen Teluk Kemang.

"Semangat saya tidak luntur walaupun tidak bertanding dalam pilihan raya kali ini," katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang itu berkata, beliau sudah sembilan kali bertanding dalam pilihan raya sejak tahun 1978 menjadikan tiada ada sebab untuk berasa kecil hati kerana tidak dicalonkan.

"Saya tidak berkecil hati, malah akan terus bekerja membantu calon lain yang bertanding di satu kerusi Parlimen dan lima DUN di Port Dickson.

"Saya akan memantau semua calon BN yang bertanding. Saya percaya kita mampu untuk dapat balik beberapa kerusi yang terlepas di tangan pembangkang, termasuk Parlimen sejak sepenggal lalu.

"Kali ini saya akan turun membantu kempen semua calon kita bagi memastikan kita menang," katanya.

Parlimen Port Dickson mempunyai lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan BN mencalonkan Lim Chin Fui untuk DUN Chuah, Yeong Kun You (DUN Lukut), Tun Hairudin Abu Bakar (DUN Bagan Pinang), Abdul Rahman Mohd Redza (DUN Linggi) dan Thinalan T Rajagopalu (DUN Sri Tanjung).



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment