Terpaksa diusung turun, kaki kejang di Bukit Broga
SEMENYIH: Hajat seorang lelaki untuk menawan puncak keempat Bukit Broga dekat sini, tidak kesampaian apabila mengalami kekejangan otot kedua-dua belah kaki sebaik sampai ke puncak ketiga bukit berkenaan kira-kira jam 11.40 pagi tadi.
Malah, disebabkan kekejangan itu, mangsa, Mohd Hizam Othman, 33, terpaksa diusung turun oleh anggota penyelamat yang menerima panggilan daripada rakannya pada jam 11.50 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih, Zainal Elias Abdul Aziz berkata, seramai sembilan anggota penyelamat daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Unit Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) Balai bomba dan Penyelamat Bangi serta dua anggota polis dikejarkan ke puncak ketiga Bukit Broga bagi membawa turun mangsa.
Katanya, pasukan penyelamat menemui mangsa pada jam 1.44 petang dalam keadaan baik namun tidak mampu untuk berjalan.
"Oleh kerana keadaan mangsa yang tidak boleh berjalan, pasukan penyelamat terpaksa mengusung turun mangsa ke bawah menggunakan pengusung secara bergilir-gilir.
"Mangsa berjaya dibawa turun pada jam 2.25 petang dan diserahkan kepada unit EMRS yang membantu memberi rawatan susulan kepadanya," katanya ketika dihubungi, hari ini.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment