Debat perumahan bukan isu lapuk: Nazir

Sunday, April 1, 2018

Debat perumahan bukan isu lapuk: Nazir

Debat perumahan bukan isu lapuk: Nazir

KUALA LUMPUR - Pemuda Umno sekali lagi melontarkan cabaran kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng  untuk berdebat isu perumahan yang gagal diselesaikan di kedua-dua negeri itu.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar Dan Perumahan (Help) Pemuda Umno, Datuk Nazir Hussin Aktar Hussin, berkata cabaran debat isu perumahan bukan isu yang sengaja dibangkitkan menjelang pilihan raya tetapi bosan dengan sikap putar beli kedua-dua pemimpin berkenaan.

Nazir Hussin berkata, isu perumahan adalah keperluan rakyat Selangor dan pihaknya memperjuangkan hak orang muda yang kurang berkemampuan memiliki rumah mampu milik di Selangor dan Pulau Pinang.    

“Ini bukan isu lapuk atau isu yang hampir dengan bulan pilihan raya umum, tetapi (persoalannya) kenapa Menteri Besar Selangor batalkan sembilan projek perumahan dekat dengan bulan pilihan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Titiwangsa berkata, orang muda yang baru bekerja atau kurang daripada lima tahun tidak mampu membeli rumah berharga lebih RM500,000 seunit.

“Inikah yang dikatakan Kerajaan Prihatin?” katanya.

Selain itu, Nazir Husin berkata, lebih menyukarkan orang muda membeli rumah adalah langkah institusi perbankan mengetatkan syarat pinjaman termasuk keperluan pendapatan RM8,000 sebulan untuk mendapatkan pinjaman lebih RM8,000.

“Dengan ini, sampai bilakah orang muda yang berpendapatan rendah (bawah RM4,000 sebulan) akan mampu memiliki rumah di Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.

Katanya, jika Pemuda Umno tidak mempertahankan sembilan tapak projek perumahan yang dibatalkan oleh Kerajaan Selangor baru-baru ini, maka kemungkinan tapak berkenaan akan dibina ‘rumah mampu lihat’ sahaja.

Justeru, katanya, pihaknya mencadangkan satu penganjuran Forum Khas: Isu Perumahan di Selangor dan Pulau Pinang diadakan oleh mana-mana pihak.

Penganjur disaran menjemput  Mohamed Azmin dan Guan Eng hadir dalam forum khas itu.

“Jika mereka tidak dapat hadir, wakil dalam kalangan Exco Perumahan atau agensi perumahan kedua-dua Kerajaan Negeri boleh mewakili mereka,” katanya.

Semalam Mohamed Azmin dilaporkan berkata, beliau sedia menimbangkan tawaran debat oleh Pemuda Umno sekiranya debat tersebut berasaskan fakta dan tidak berlandaskan emosi semata-mata.

Beliau berkata, sekiranya debat itu bertujuan sekadar melontarkan atau menzahirkan emosi, sudah tentu tidak akan membawa apa-apa makna kepada rakyat.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment