Tak perlu undang-undang intip data suami, isteri

Wednesday, April 4, 2018

Tak perlu undang-undang intip data suami, isteri

Tak perlu undang-undang intip data suami, isteri

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak memerlukan undang-undang khusus untuk mengawal tindakan suami atau isteri yang mengintip telefon bimbit pasangan masing-masing.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Datuk Awang Musa, berkata sebagai suami isteri, pasangan tidak sewajarnya ada rahsia lebih-lebih lagi bagi orang Islam.

"Jika ia membabitkan pasangan suami isteri, daripada segi Islam atau syarak tidak perlu ada rahsia di antara satu sama lain.

"Jika undang-undang seperti ini diwujudkan ia hanya akan menimbulkan masalah lain pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi.

Awang mengulas mengenai undang-undang baharu yang diwujudkan di Arab Saudi minggu lalu yang mana setiap suami atau isteri akan dikenakan tindakan jika didapati bersalah mengintip telefon bimbit pasangan.

Undang-undang itu disahkan sendiri oleh Kementerian Penerangan Arab Saudi menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Menurut kenyataan itu, jika sabit kesalahan individu terbabit boleh didenda sehingga 500,000 riyal (RM516,000) dan penjara setahun.

Peraturan itu sebahagian daripada undang-undang antisiber baharu yang berkuat kuasa, minggu lalu.

Kementerian itu berkata, undang-undang berkenaan diperkenalkan untuk melindungi moral individu dan masyarakat serta maklumat peribadi mereka.

Langkah dibuat ketika berlakunya peningkatan jenayah siber seperti memeras ugut, penyelewengan dan fitnah.

Bagaimanapun, Awang berkata, jika pasangan itu tidak ada hubungan suami isteri, undang-undang lain boleh digunakan seperti yang berkaitan dengan pencerobohan data peribadi.

"Jika undang-undang ini (khusus) mengaitkan pasangan suami isteri ia adalah subjektif dan bimbang akan timbul masalah lebih rumit.

"Mungkin di Arab Saudi ia menjadi keperluan tetapi tidak di sini," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment