Sistem pengangkutan awam ke arah kecekapan maksimum

Sunday, April 1, 2018

Sistem pengangkutan awam ke arah kecekapan maksimum

Sistem pengangkutan awam ke arah kecekapan maksimum

JANJI DITEPATI

KUALA LUMPUR: Pembangunan infrastruktur mega pengangkutan awam menunjukkan iltizam kerajaan dalam memperluaskan rangkaian pengangkutan itu sekali gus membawa transformasi besar terhadap industri berkenaan.

Kerajaan melihat pengangkutan awam sebagai nadi masyarakat bandar yang menghubungkan mereka dari satu destinasi ke destinasi seterusnya. Ia menerima satu anjakan apabila buat kali pertama menerima sejumlah peruntukkan besar dalam menaik taraf infrastrukturnya.

Paling ketara projek infrastruktur terbesar iaitu Transit Aliran Massa (MRT) dengan kos berjumlah RM51 bilion, mengubah dimensi pengguna terhadap pengangkutan awam khususnya dari segi kecekapan, pembangunan teknologi dan penambahan bilangan pengguna.

Presiden Persatuan Penguna-penguna Pengangkutan Awam (4PAD), Ajit Johl, berkata rakyat menerima manfaat besar daripada pembangunan MRT dan pengangkutan awam lain yang dinaik taraf.

Katanya ini kali pertama kerajaan memberi peruntukan cukup besar bagi pengangkutan awam dan ia bertujuan membantu rakyat dalam menanggung kos sara hidup tinggi.

Transformasi dalam masyarakat

"Kita lihat satu transformasi dalam masyarakat, bilangan pengguna pengangkutan awam bertambah dan ini memberi kesan baik terhadap aliran trafik di lebuh raya.

"Penggunaan pengangkutan awam ini berkait rapat dengan kos, kita tidak boleh nafikan kos menaik pengangkutan awam ini jauh lebih rendah berbanding menampung minyak kenderaan.

"Kejayaan kerajaan menyediakan pengangkutan awam yang hebat dengan mutu infrastruktur ditingkatkan adalah satu permulaan era baharu bagi industri ini," katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari, ini.

Selain itu Ajit juga berpendapat inisiatif terhadap bentuk galakan kepada masyarakat untuk menggunakan pengangkutan awam perlu dipertingkatkan supaya stigma 'hanya orang tidak mampu' saja menggunakan pengangkutan itu dihapuskan.

"Mereka yang menggunakan pengangkutan awam sebenarnya adalah pengguna bijak. Sasaran perlu kepada pengguna muda seperti pelajar, kerana mereka masih belum memiliki kereta atau masih membuat pertimbangan untuk membeli kereta," katanya.

Naik taraf

Berdasarkan laporan Aku Janji Persekutuan 2013-2018, lima pengangkutan awam utama yang dinaik taraf dan ditambah kecekapannya iaitu bas Rapid KL, myBAS, MRT, Transit Aliran Ringan (LRT) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR).

Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Harlina Suzana Jaafar, berkata kemajuan sektor pengangkutan awam yang dibangunkan kerajaan ini dilihat lebih bersifat tanggungjawab sosial korporat (CSR) terhadap rakyat, kerana ia tidak terlalu menguntungkan.

Katanya, kebergantungan pengguna terhadap laluan trek seperti MRT dan pada masa akan datang dengan HSR dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), tentunya satu peralihan yang melestarikan.

"Dalam kemajuan ini saya lihat mungkin pada masa akan datang perlu ada satu sistem integrasi supaya semua mod pengangkutan awam ini bukan bersaing sebaliknya bekerjasama dengan lebih cekap.

"Kita jangkakan dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang memperlihatkan sektor ini bergerak dengan kecekapan maksimum," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment