Muhyiddin ketuai himpunan bantah GST

Sunday, April 1, 2018

Muhyiddin ketuai himpunan bantah GST

Muhyiddin ketuai himpunan bantah GST

KUALA LUMPUR - Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai perhimpunan Kempen Rakyat Tolak GST yang berlangsung di perkarangan pusat beli belah Sogo, semalam.

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu, perhimpunan berkenaan bertujuan bagi mengingatkan kerajaan bahawa pelaksanaan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) begitu membebankan setiap lapisan rakyat sepanjang tiga tahun pelaksanaannya.

"Kita berhimpun bagi menunjukkan perasaan bantah dan benci kita kepada GST yang dilaksanakan kerajaan BN, masuk tahun ketiga mereka telah memungut hampir RM 105 bilion, yang pastinya kita tahu ia dikutip melalui keringat setiap rakyat hari ini yang begitu terbeban.

"Hari ini, kita juga nak ingatkan rakyat bahawa GST ialah sistem cukai yang cukup zalim, dikenakan kepada rakyat tak kira kaya atau miskin, sehingga peminta sedekah pun kena GST. Cukai GST beri kesan cukup besar kepada rakyat.

"Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri bersikap endah tak endah dengan rintihan rakyat ini," katanya kepada pemberita ketika mengetuai perhimpunan anjuran Pakatan Harapan berkenaan.

Muhyiddin berkata, atas dasar prihatin dan merasai denyut nadi rakyat, pimpinan Harapan melalui manifesto pilihanraya yang diumumkan sebelum ini, sepakat untuk menghapuskan sistem cukai GST yang didakwa membebankan rakyat.

Menurutnya, jika diberi mandat menjadi kerajaan pada PRU14, antara janji utama Harapan ialah menghapuskan sistem cukai GST dan akan menggantikan dengan kaedah cukai lain yang lebih baik dan tidak membebankan rakyat.

"Sebab itu dalam Harapan, kita dah putuskan jika rakyat pilih kita, kita akan hapuskan GST seperti yang kita janjikan dalam manifesto.

"Malah, bukan setakat isu berkaitan cukai GST sahaja, kita juga ada banyak lagi tawaran lain dalam Manifesto Harapan untuk rakyat.

"Saya rasa rakyat boleh nilai sendiri, Manifesto Harapan pastinya beri lebih banyak faedah, kemudahan dan kesenangan kepada rakyat, termasuk penghapusan cukai GST," katanya.

Sementara itu, perhimpunan itu disertai hampir 100 peserta dan berjalan secara aman selama kira-kira dua jam bermula 4 petang.

Peserta perhimpunan turut berarak di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dengan mengangkat sepanduk, mengedar risalah kempen dan bersorak membantah sistem cukai GST.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment