Shahril Sufian elak serang peribadi lawan
KUALA LANGAT: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Langat, Shahril Sufian Hamdan akan lebih fokus kepada agenda pembangunan Kuala Langat berbanding kempen menyerang peribadi lawan.
Graduan University of Manchester berusia 31 tahun itu juga mahu menjadi pengantara dan pemudahcara pengundi di kawasan berkenaan dengan agensi kerajaan bagi memastikan kebajikan rakyat terjamin.
"Antara manifesto peribadi, saya berazam untuk mempromosikan kepelbagaian produk pelancongan yang terdapat di daerah ini sekali gus memberi pulangan modal kepada penduduk setempat selain mahu menaiktaraf Stadium Jugra menjadi Kompleks Sukan yang lengkap untuk kegunaan masyarakat Kuala Langat.
"Janji pertama saya, menjadi pengantara dan pemudahcara bermaksud, sekiranya saya dipilih sebagai Ahli Parlimen di sini, saya akan menubuhkan satu sekretariat yang berfungsi memadankan agensi yang bersesuaian untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi rakyat.
"Jika ada peniaga yang mahukan khidmat kewangan, sekratariat ini akan mencari apa agensi kerajaan yang sesuai dengan saiz syarikat dan jumlah pinjaman yang diperlukan.
"Jika ada individu yang mahu bantuan kewangan jika berlaku kecemasan seperti sakit, anak hendak melanjutkan pelajaran, sekretariat ini akan mencari apa agensi yang sesuai," katanya kepada media, hari ini.
Beliau yang juga EXCO Pergerakan Pemuda UMNO berkata, paling utama, sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat, beliau akan mendekatkan masyarakat dengan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan.
"Ahli Parlimen bukan tugasnya hanya berdebat mengenai dasar, meluluskan undang-undang, tetapi tugas utamanya adalah membantu rakyat.
"Kerajaan mempunyai pelbagai agensi yang boleh membantu rakyat daripada seorang peniaga sehinggalah ke orang tua, tetapi tidak ramai tahu jika wakil rakyatnya sibuk melakukan perkara lain," katanya.
Duta Tranformasi Nasional 2050 (TN50) itu juga berazam mahu menjadikan Kuala Langat salah satu lokasi pelancongan tumpuan masyarakat tempatan dan antarabangsa.
"Di sini (Kuala Langat) ada pelbagai lokasi menarik, Bukit Jugra yang indah dan kegiatan paragliding yang ada di sana dipromosikan dengan meluas akan menarik lebih ramai orang luar ke sini atau ke Pantai Morib dan Pantai Klanang.
"Kampung Orang Ali Mahmeri di Pulau Carey, Tokong FGS Dong Zeng di Jenjarum antara tarikan pelancongan yang menarik di sini yang memperlihatkan keutuhan perpaduan pelbagai kaum di sini," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment