Rosnah bertatih bina perniagaan

Saturday, April 28, 2018

Rosnah bertatih bina perniagaan

Rosnah bertatih bina perniagaan

MULA berjinak-jinak dengan dunia perniagaan secara sambilan sejak beberapa tahun lalu, Pengasas Rosecun Resources Services, Rosnah Abdul Aziz kini boleh berbangga dengan pencapaian yang dimiliki kerana produk bijirin sedia dimakan berjenama Amerose Super Cereal mendapat sambutan yang memberangsangkan.

Menariknya, produk yang baru dihasilkan sejak September tahun lalu sudah mula mendapat permintaan pasaran luar negara iaitu Kuwait, China dan terbaru di Singapura dan Brunei.

“Saya tidak menyangka produk ini mendapat perhatian bagi mereka yang menggemari makanan seimbang. Pada mulanya, saya bimbang dengan hala tuju perniagaan ini memandangkan perniagaan tudung berjenama HijabDah sebelum ini tidak seperti yang diharapkan.

“Perniagaan tudung adalah mengikut musim dan saya dapati jualan HijabDah tidak menentu kerana permintaannya mengikut musim dan trend. Saya perlu membuktikan, kegagalan perniagaan tersebut bukanlah pengakhiran perjuangan saya menerokai perniagaan lain,” katanya.

Menurut Rosnah, usaha membina empayar perniagaan lain diteruskan dengan membuat kajian apakah produk yang mempunyai permintaan tinggi tetapi tidak banyak ditawarkan dalam pasaran.    

“Saya mula mencari perniagaan yang sesuai dan mempunyai permintaan berterusan, pastinya ia adalah berkaitan makanan. Saya ambil masa agak lama dan melakukan kajian apakah produk yang boleh membantu diet dan membekalkan tenaga kepada pengguna.

“Setelah berbincang bersama adik angkat, saya mengambil keputusan mengeluarkan produk bijirin sedia dimakan berjenama Amerose Super Cereal. Proses mengeluarkan produk ini bukanlah mudah kerana saya tidak mempunyai latar belakang dalam bidang teknologi makanan dan perniagaan,” katanya.

Beliau mahu memastikan produk dihasilkan menepati cita rasa pengguna dan mereka boleh menyediakannya dengan mudah dan menjimatkan masa.

Modal RM3,000

Bermodalkan RM3,000, Rosnah tekad memulakan perniagaannya dengan mencari kilang OEM bersesuaian dan menepati kehendaknya yang mementingkan kebersihan dan menggunakan bahan-bahan berkualiti.

“Untuk menghasilkan Amerose Super Cereal, saya menggunakan formulasi sendiri dengan menggabungkan pelbagai jenis buah-buahan seperti ubi bit, cia seed, madu, delima, kurma dan oat. Kami membuat kajian pembangunan dan penyelidikan produk selama enam bulan.

“Pada September 2017, Amerose Super Cereal berada dalam pasaran dan berjaya dijual sebanyak 5,000 bekas dalam tempoh singkat. Kini, jualannya meningkat10,000 sebulan,” katanya yang merupakan bekas wartawan dan pernah terlibat dalam bidang perhubungan awam.

Rosnah berkata, kebanyakan pembeli menjadikan Amerose Super Cereal sebagai sarapan pagi dan makan malam kerana ia mudah disediakan, mengenyangkan, mempunyai pelbagai khasiat dan mengandungi gizi seimbang.

“Kebanyakan pembeli Amerose Super Cereal adalah golongan berkerjaya, atlit dan mereka yang akan melancong ke luar negara. Menariknya, kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan keenakan Amerose Super Cereal dan berbaloi kerana dijual pada harga RM5.90 sahaja,” katanya.

Walaupun perniagaan Amerose Super Cereal menjadi fokus utama, Rosnah masih menjalankan perniagaan hijabnya kerana masih mempunyai permintaan.

Positif hadapi cabaran

Seperti ahli perniagaan lain, Rosnah tidak terlepas menghadapi pelbagai cabaran dalam menguruskan perniagaannya, namun beliau tidak mahu menoleh ke belakang lagi.

“Produk ini dapat permintaan tinggi setiap bulan termasuklah daripada peruncit besar. Tapi saya tak mampu penuhi permintaan itu kerana tak cukup modal. Namun ia bukanlah alasan saya tak boleh berniaga, saya keluarkan ikut kemampuan sahaja,” katanya.

Rosnah juga berdepan segelintir masyarakat yang tidak berkeyakinan dengan produknya kerana persepsi mereka produk buatan anak tempatan tidak setanding produk sedia ada.

“Saya jadikan cabaran ini sebagai pembakar semangat untuk meneruskan perniagaan ini kerana ia merupakan produk Bumiputera pertama yang mengeluarkan makanan tambahan berasaskan bijirin, oat dan makanan Sunnah,” katanya.

Bagi Rosnah, perniagaan sememangnya berisiko dan kita harus bijak menanganinya dan menghadapi cabaran dengan positif.

“Antara prinsip perniagaan yang saya amalkan ialah berani, peramah dan mesra, buktikan produk kita yang terbaik, tidak berputus asa, rajin serta buang perasaan malu. Kita juga perlu menambahkan ilmu mengenai perniagaan dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa,” katanya.   

Kukuhkan pasaran tempatan

Rosnah bijak merencanakan perniagaannya dan merangka pelbagai strategi untuk mengembangkan perniagaannya ke peringkat lebih tinggi dan menyasarkan untuk meningkatkan jualannya menjelang akhir tahun ini.

“Saya mahu menambahkan ejen di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, setakat ini saya hanya mempunyai lebih 10 ejen sahaja. Ejen yang ramai akan memudahkan saya untuk mempromosikan Amerose Super Cereal.

“Saya juga akan menyertai pelbagai ekspo di luar negara kerana merancang untuk menembusi pasaran luar negara. Dengan adanya permintaan dari beberapa negara membuktikan produk ini mempunyai keunikannya yang tersendiri,” katanya.

Sesiapa yang berminat untuk menjadi stokis kepada produk ini, mereka hanya perlu membeli 25 karton Amerose Super Cereal manakala ejen hanya enam karton sahaja.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment