Rahmat buat skuad Jang

Sunday, April 1, 2018

Rahmat buat skuad Jang

Rahmat buat skuad Jang

PENUNDAAN tarikh kesemua perlawanan Liga Super yang sepatutnya berlangsung pada 30 dan 31 Mac serta 3 dan 4 April ini, bagaikan memberi rahmat terhadap skuad Jang.

Berdasarkan jadual asal, Negeri Sembilan bakal melayan kunjungan Perak di laman sendiri malam semalam dan disusuli dengan PKNS FC kira-kira empat hari kemudian di tempat lawan.

Berdasarkan makluman Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang dahulunya dikenali sebagai Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), tarikh baru ditetapkan pada 5 dan 6 Jun serta 10 dan 11 Julai depan.

Justeru, perlawanan paling hampir buat masa ini, dijadualkan pada 14 April, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban atau lebih dikenali dalam kalangan peminat dengan jolokan Star of Paroi, untuk bertemu Kelantan.

Sehubungan itu, pemain skuad Hoben Jang Hoben dikatakan mempunyai lebih masa untuk berehat dan membuat persediaan bagi memantapkan lagi mutu permainan sebelum menghadapi saingan seterusnya.

Ruang perbaiki keadaan

Bagi Presiden Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (n9futbol.com), Ahmad Zaini Baharun, penundaan itu sememangnya diperlukan Mohd Azraai Khor Abdullah untuk memperbaiki keadaan pasukannya.

“Banyak perkara perlu diberi perhatian. Baik dari segi susunan pemain, taktikal dan senarai kecederaan. Perlu kenal pasti segala kelemahan yang ada, sementara masih ada masa.

“Manfaatkan juga waktu ini untuk cuba pelbagaikan lagi posisi beberapa pemain. Selain itu, dia boleh uji kemampuan pemain skuad Piala Presiden dalam perlawanan persahabatan.

“Tujuannya untuk perbanyakan lagi pilihan jika perlu. Kalau ada ramai yang berpotensi, maka lebih mudah untuk merencanakan sebarang strategi,” katanya.

Bagaimanapun katanya, tempoh rehat yang terlalu panjang dikhuatiri memberi kesan kurang elok terhadap liga itu sendiri, di mana auranya mungkin akan berkurangan.

“Cuma, kita tak boleh nak beri tekanan sangat pada Mohd Azraai memandangkan itu saja set pemain yang dia ada.

“Rasanya bukan mudah untuk dia buat lebih daripada yang kita harapkan. Tapi walau apa pun, mudah-mudahan akan ada keputusan positif nanti,” katanya.

Peluang pemain

pulih semula

Sementara itu, Editor Majalah UltraJang, Nasron Mohd Yasin pula melihat penangguhan perlawanan itu mengganggu momentum pasukan dan pemain, kecuali Skuad Rusa.

“Pasukan lain mungkin terganggu, tapi sebaliknya bagi Negeri Sembilan. Rehat panjang beri peluang pada beberapa pemain utama yang cedera untuk pulih.

“(Nicolas) Velez, (Renars) Rode, Khairul Anwar (Shahrudin) dan (R) Aroon Kumar ada masa untuk kembali cergas.

Secara ringkasnya, kata Nasron, ini satu peluang terbaik untuk Skuad Hoben Jang Hoben mengubah nasib memandangkan momentum kurang baik dalam lima perlawanan terdahulu.

“Perlu diingat, Mohd Azraai masih belum dapat latih keseluruhan pemain sejak ambil alih pasukan pada Mac lalu.

“Jadi, dia tak dapat nak cuba lagi kombinasi pemain yang betul-betul sesuai,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment