Polis masih siasat motif ahli perniagaan ditembak

Sunday, April 1, 2018

Polis masih siasat motif ahli perniagaan ditembak

Polis masih siasat motif ahli perniagaan ditembak

POLIS meneliti daripada pelbagai sudut bagi mengenal pasti punca kejadian membabitkan seorang ahli perniagaan yang cedera parah ditembak seorang lelaki yang tidak dikenali di kawasan perindustrian Taming Jaya, Kajang dekat sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, siasatan masih berjalan bagi mengesan suspek utama.

Menurutnya, pihaknya percaya akan dapat menyelesaikan kes ini dalam masa terdekat ini berdasarkan maklumat-maklumat dan petunjuk yang ada.

“Malah, kita juga sedang meneliti apa juga punca sama ada ia berkaitan masalah peribadi atau bukan. Semua sudut kita akan siasat,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.

Terdahulu, Mazlan merasmikan ‘Fun Run’ sempena Peringatan Hari Polis Ke-211 dengan kerjasama Air Asia.

Pada kejadian kira-kira jam7.45 malam itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian dada dan perut selepas terkena tiga das tembakan ketika mangsa bersama pekerjanya keluar dari pejabat untuk makan malam.

Sebaik sahaja berada di dalam kereta, mereka telah didatangi sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki yang menggunakan jaket berwarna gelap dan berhelmet sebelum melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa.

Susulan itu, suspek terus melarikan diri dan mangsa seterusnya dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Dalam perkembangan lain, Polis Selangor giat memburu suspek bunuh melibatkan mangsa warga Nepal di asrama pekerja di Jalan Barat, Petaling Jaya, 25 Mac lalu.

“Kita yakin suspek akan ditangkap dalam masa terdekat ini dan polis percaya motif kejadian mempunyai kaitan masalah peribadi,” katanya.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment