Laluan di Terminal Kuala Kedah akan dibuka semula

Sunday, April 1, 2018

Laluan di Terminal Kuala Kedah akan dibuka semula

Laluan di Terminal Kuala Kedah akan dibuka semula

ALOR SETAR: Laluan bagi menurunkan penumpang yang menggunakan perkhidmatan feri di Terminal Kuala Kedah akan dibuka semula bagi mengurangkan kesesakan serta memudahkan pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim, berkata laluan itu ditutup sejak April tahun lalu bagi memberi laluan pembinaan parkir bertingkat yang sepatutnya siap dua tahun lagi.

Beliau berkata, pihaknya menerima rungutan penumpang feri yang terpaksa berjalan jauh untuk masuk ke terminal jeti susulan penutupan jalan berkenaan.

"Kita akan membuka palang dan penghadang yang ada sekarang bagi memudahkan teksi dan bas masuk terus ke terminal feri dan memudahkan orang ramai turun di sini tanpa perlu berjalan jauh.

"Kita akan melakukan kerja-kerja pembersihan untuk menanggalkan dinding penghalang dan palang sebelum laluan ini dibuka semula dalam tempoh terdekat," katanya ketika ditemui selepas melawat tapak projek berkenaan hari ini.

Hadir sama, Penyelaras DUN Kuala Kedah, Datuk Mutalib Harun, wakil dari JKR dan MBAS.

Mengulas mengenai projek parkir bertingkat itu, Badrol Hisham berkata, ia dihentikan kerana kontraktor yang dilantik mengalami masalah.

Katanya, keputusan menghentikan projek itu dibuat selepas perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya, Jabatan Laut Malaysia dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Badrol Hisham berkata, pihaknya kini masih dalam proses rundingan supaya tapak parkir yang terbengkalai itu diserahkan kepada Jabatan Laut Malaysia.

Katanya, projek bangunan parkir bertingkat itu adalah sebahagian daripada projek menaik taraf kompleks terminal jeti Kuala Kedah yang menelan belanja sebanyak RM208.9 juta.

Projek yang dibiayai oleh Kerajaan Pusat itu bertujuan menjadikan kompleks terminal jeti itu lebih moden dan tersusun.

Sementara itu, Ketua Terminal Feri Kargo dan Penumpang Kuala Kedah, Badrul Hisham Umar, berkata projek menaik taraf terminal itu masih berjalan mengikut jadual.

Beliau menjelaskan hanya projek pembinaan bangunan parkir bertingkat itu yang berada di bawah pengurusan MBAS yang tergendala dan berharap rundingan untuk melantik kontraktor baru akan selesai dalam masa terdekat.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment