Penuhi impian Tunku Jalil

Sunday, April 1, 2018

Penuhi impian Tunku Jalil

Penuhi impian Tunku Jalil

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan berangkat hadir dan melancarkan Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor (TLJCC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini.

Turut berangkat hadir adalah Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Khaleeda Bustamam.

Sultan Ibrahim bertitah, pembinaan pusat kanser itu begitu signifikan malah sebagai memenuhi impian Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil untuk membantu mereka yang menghidap kanser agar boleh mendapatkan rawatan.

“Saya dan keluarga akan menyambung impian Almarhum Tunku Abdul Jalil.

“Kami akan memastikan legasi Almarhum ini diteruskan dan kami akan melakukan yang terbaik untuk membantu dan menyokong pesakit kanser seramai mana yang boleh,” titahnya.

Sultan Ibrahim bertitah, dua tahun lalu, Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor dilancarkan, yang mendedikasikan untuk membantu pesakit kanser yang memerlukan bantuan kewangan dan mendapat akses rawatan.

“Saya secara peribadi telah menyumbang RM2.3 juta untuk membeli CT Scan untuk pusat rawatan onkologi di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

“Saya buat semua ini agar lebih ramai pesakit kanser boleh bersedia menjalani rawatan radioterapi,” titahnya.

Sultan Ibrahim bertitah, menjadi harapannya dengan adanya pusat kanser tersebut, pesakit kanser akan mendapat rawatan dengan fasiliti terbaik di Johor Bahru.

“Itu sebabnya sejumlah wang yang diterima hospital ini akan disalurkan kepada pesakit kanser yang memerlukan dan keluarga mereka.

“Kami mahu hospital ini memberi manfaat kepada penghidap kanser yang kurang berkemampuan serta keluarga mereka,” titahnya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Asian American Medical Group (AAMG), Datuk Dr Tan Kai Chah berkata, TLJCC itu akan dibina di Iskandar Puteri di sini dan diterajui AAMG yang juga sebuah syarikat berasaskan kesihatan dari Singapura.

Katanya, TLJCC adalah sebuah institusi perubatan swasta yang dibina khusus untuk rawatan, penyelidikan dan pendidikan mengenai kanser yang mana operasinya dijangka bermula penghujung 2020 dengan fasa satu yang membabitkan kemudahan diagnostik dan rawatan kanser terkini.

“Fasa pertama pusat kanser ini membabitkan kos pembangunan kasar kira-kira RM300 juta dengan keluasan 14,000 meter persegi yang mana dalam kapasiti penuh, fasa ini mampu merawat sehingga 7,000 pesakit setahun.

“Fasa kedua pula akan merangkumi perkhidmatan pesakit dalaman termasuk bahagian patuh syariah yang khusus bagi wanita,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment