Pemimpin BN ada resipi terbaik agih kerusi

Friday, April 6, 2018

Pemimpin BN ada resipi terbaik agih kerusi

Pemimpin BN ada resipi terbaik agih kerusi

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah yakin Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak dan pucuk pimpinan parti mempunyai formula terbaik bagi memastikan agihan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kali ini benar-benar memenuhi impian serta keperluan semua pihak.

Justeru, Shamsul Anuar mahu semua pihak akur dengan keputusan Najib kerana keutamaan harus diberikan kepada kemenangan BN sekali gus membolehkan parti itu membentuk semula kerajaan.

Katanya, di Parlimen Lenggong misalnya, sejak dulu lagi ia diwakili oleh UMNO dan BN juga tidak pernah kalah di kawasan terbabit memandangkan mereka sentiasa berkhidmat dan memberi yang terbaik untuk rakyat.

"Ini kerana barisan kepimpinan dan wakil rakyat BN bukan bekerja hanya untuk pilihan raya, malah sejak sekian lama dan semua itu dinilai rakyat.

"Saya pasti rakyat khususnya di Parlimen Lenggong akan terus memberikan mandat kepada BN kerana banyak yang sudah, sedang dan akan dilakukan untuk memberi yang terbaik kepada rakyat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut mengenai keyakinan beliau terhadap kemampuan BN untuk memenangi PRU-14, Shamsul Anuar berkata, rakyat Malaysia kini juga semakin bijak dan mempunyai tahap kematangan politik yang tinggi bagi menilai apa yang dilakukan oleh BN sejak dulu lagi.

Jelas beliau, kemampuan BN mentadbir negara bukan hanya diiktiraf oleh badan dalam negara malah pelbagai agensi penarafan antarabangsa.

Untuk itu, Shamsul Anuar berkata, rakyat boleh membuat ukuran dengan pelbagai petunjuk yang ada umpamanya melalui kemasukan dan jumlah pelaburan asing ke negara ini, pembangunan prasarana, program bantuan kepada rakyat dan sebagainya.

"Semua itu akan menjadi faktor penting bagi mendorong rakyat untuk terus menyokong BN kerana sudah jelas, parti ini berkemampuan memimpin negara dengan lebih baik berbanding parti lain.

"Dalam aspek ini, hanya BN saja yang memenuhi semua kriteria berkenaan kerana parti pembangkang seperti Pakatan Harapan contohnya, mereka bercelaru dan tidak sepakat, sekali gus mengundang risiko kepada negara dan rakyat.

"Saya yakin sepenuhnya bahawa BN akan terus memimpin dan diberikan mandat pada PRU-14 ini," katanya



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment