Nazir Hussin hentikan retorik anda !
SHAH ALAM - Cabaran debat isu perumahan oleh Exco Pemuda Umno, Datuk Nazir Hussin Aktar Hussin terhadap Menteri Besar Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang hanyalah tindakan retorik untuk menutup keretakan yang berlaku dalam Umno.
Penolong Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Pusat, Syed Badli Shah Osman berkata, Nazir Hussin yang juga Ketua Pemuda Umno Titiwangsa sebelum ini dikaitkan sebagai individu yang bertanggungjawab dalam protes kain rentang terhadap Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata, keretakan dalaman Umno Titiwangsa itu memaksa Nazir Hussin tampil membuat kenyataan mempertahankan dirinya sambil menafikan yang beliau terbabit sebagai 'tangan ghaib' terhadap protes tersebut.
Katanya, beliau percaya tindakan Nazir Hussin mencabar debat isu perumahan di Selangor dan Pulau Pinang hanyalah bertujuan mengaburi mata umum terhadap krisis yang berlaku di antara dirinya dan Johari.
"Umum mengetahui sejak Pakatan berjaya mengambil alih pentadbiran di Selangor dan Pulau Pinang dari tangan BN, pelbagai inisiatif yang menguntungkan rakyat berjaya dilaksanakan.
"Pemberian air percuma 20 meter padu misalnya, rakyat menikmati manfaatnya sejak tahun 2008 hingga ke hari ini di atas inisiatif kerajaan negeri Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.
"Perkara asas seperti ini gagal disediakan oleh Umno sepanjang puluhan tahun memerintah Selangor," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, inilah yang sepatutnya dibincangkan kenapa Umno gagal menyediakan dan Pakatan Harapan berjaya melaksanakannya?
Terdahulu, Nazir Hussin mencabar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berdebat dalam isu perumahan mampu milik yang berlaku di kedua-dua negeri itu.
Menurutnya, beliau sendiri akan menjadi wakil Pemuda Umno bagi menghadapi debat tersebut dan mencabar kedua-dua pemimpin tertinggi kerajaan negeri itu agar berani menyahut cabaran itu.
Dalam pada itu, Syed Badli Shah yang juga Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Selangor berkata, Nazir Hussin tak perlu membazir masa mencabar debat isu perumahan.
"Hentikan retorik debat yang tiada hasilnya kerana rakyat sudah jemu dengan permainan politik Umno dan BN,"katanya.
Semalam, Mohamed Azmin memaklumkan pihaknya bersedia menimbang tawaran berdebat oleh Pemuda Umno Malaysia sekiranya debat itu berasaskan fakta dan tidak berlandaskan emosi semata-mata.
Timbalan Presiden PKR itu menegaskan, beliau mengalu-alukan debat tersebut namun ia mestilah berasaskan kepada fakta supaya pencerahan dapat diperjelaskan kepada rakyat berkenaan isu perumahan rakyat yang dibangkitkan.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment