Israel perlu bertanggungjawab: GMMF
KUALA LUMPUR: Masyarakat antarabangsa perlu bertindak dan memberi tekanan sewajarnya terhadap Israel supaya bertanggungjawab dalam keganasan terbaru ke atas rakyat Palestin.
Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF), Datuk Dr Nasharudin Mat Isa, berkata pihak berkuasa Israel perlu menghormati hak rakyat Palestin untuk berhimpun secara aman dan menyuarakan pandangan.
Katanya, Israel seharusnya mematuhi perkara itu berdasarkan undang-undang hak asasi manusia.
"GMMF bimbang dengan ketegangan dan pembunuhan yang berlaku ketika perarakan aman Kepulangan Besar-Besaran rakyat Palestin kelmarin.
"Laporan terbaru menunjukkan sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dan 1,400 yang lain cedera angkara tentera Israel ketika perarakan itu.
"Perarakan itu menyaksikan ribuan rakyat Palestin berarak menuju ke sempadan timur Gaza bagi meraikan Hari Wilayah Palestin pada 30 Mac," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, keganasan itu adalah rentetan kekejaman tentera Zionis ke atas anak muda Kristian Palestin yang menjalani acara keagamaan di Baitulmaqdis sempena permulaan Minggu Suci penganut agama berkenaan.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment