Mesyuarat tertutup BN tidak bincang pengagihan kerusi

Tuesday, April 3, 2018

Mesyuarat tertutup BN tidak bincang pengagihan kerusi

Mesyuarat tertutup BN tidak bincang pengagihan kerusi

KUALA LUMPUR: Isu pengagihan kerusi tidak dibincangkan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bersama pemimpin parti komponen di sini malam ini

Sebaliknya, Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata mesyuarat malam tadi cuma membincangkan soal manifesto yang akan dilancarkan Sabtu ini.

Beberapa pemimpin parti dilihat keluar meninggalkan Menara Dato Onn selepas mesyuarat kira-kira dua setengah jam bermula jam 8.30 malam.

Abdul Rahman, ketika ditemui pemberita memberitahu mesyuarat itu langsung tidak menyentuh soal pembahagian kerusi.

"Isu pembahagian kerusi tidak disentuh dalam mesyuarat, hanya persiapan untuk pengumuman manifesto, Sabtu ini.

"Perbincangan hanya mengenai hal-hal logistik dan strategik keseluruhan untuk menang pilihan raya, " katanya ketika ditemui di lobi Menara Dato Onn selepas mesyuarat itu.

Sementara itu, Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong; Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil memberi reaksi sama, namun enggan mengulas lanjut berhubung pembahagian kerusi.

Sebelum ini media melaporkan wujud pertikaian mengenai pembahagian kerusi Parlimen dalam komponen BN.

Antaranya, Parlimen Cameron Highlands milik tradisi MIC tapi diintai Parti Progresif Penduduk (MyPPP) apabila Presidennya, Tan Sri M Kayveas, dikatakan berminat bertanding tapi MIC tetap mahu meletakkan calon mereka.

Kerusi Parlimen Cameron Highlands kini disandang Datuk Seri G Palanivel yang juga bekas Presiden MIC.

MCA pula mahu bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah, Johor yang dipinjamkan kepada UMNO pada PRU-13.

Selain itu, kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dan Wangsa Maju yang menjadi kerusi tradisional MCA turut diintai UMNO berikutan hasrat parti itu mahu bertanding di Bandar Tun Razak selepas beberapa kali MCA tewas di sana.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment