Kelar suntik semangat pelajar

Tuesday, April 3, 2018

Kelar suntik semangat pelajar

Kelar suntik semangat pelajar

PELANCARAN Jelajah Pendidikan Anak Rompin anjuran Kelab Anak Perantauan Rompin (Kelar) yang dirasmikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rompin bakal diteruskan di 15 lagi sekolah di bawah Parlimen Rompin.

Presidennya, Mohd Herman Awang berkata, kesemua sekolah terlibat adalah di bawah tiga Dun iaitu Dun Bukit Ibam, Dun Muadzam Shah dan Dun Tioman termasuk sebuah sekolah di Pulau Tioman.

Menurutnya, jelajah ini menjadi platform kepada ahli kelab yang kini berjaya membina kerjaya di luar Rompin selain mencurah bakti kepada generasi muda di daerah ini.

“Program (jelajah) ini adalah medium serta peluang yang kita sediakan untuk anak jati Rompin yang mahu berkongsi ilmu dan pengalaman bersama pelajar.

“Kelar akan membawa tokoh daripada anak Rompin yang berjaya ke sekolah terpilih untuk memberi motivasi sebagai membakar semangat pelajar agar turut sama belajar bersungguh-sungguh demi masa depan.

"Kita mahu lebih ramai anak Rompin yang cemerlang pada masa depan,” katanya pada Majlis Perasmian Jelajah Pendidikan Anak Rompin (Kelar) di SMK Rompin, kelmarin.

Majlis dirasmikan ahli Parlimen Rompin merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kira- Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Hasan Arifin.

Pada majlis berkenaan, Angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor turut berkongsi ilmu dan pengalaman bersama 700  pelajar dari sekolah menengah sekitar Parlimen Rompin dan 30 ahli Kelar.

Sementara itu, Hasan  berharap program yang dirancang sepanjang tahun berjalan lancar dan mendapat sokongan lebih ramai anak jati Rompin.

“Saya difahamkan Kelar ada 500 ahli setakat ini. Jadi saya amat berharap mereka yang berada di luar dan dalam negara dapat kembali ke daerah ini untuk menabur bakti.

“Kita mahu lebih ramai tokoh ternama dapat dilahirkan dari daerah Rompin dan ia adalah hasil daripada usaha yang telah kita mulakan saat ini,” katanya.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment