Putrajaya ada 2 pilihan selesai krisis air Selangor

Tuesday, April 3, 2018

Putrajaya ada 2 pilihan selesai krisis air Selangor

Putrajaya ada 2 pilihan selesai krisis air Selangor

PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan mempunyai dua pilihan untuk menyelesaikan krisis air di Selangor jika kerajaan negeri itu masih enggan melaksanakan proses migrasi sehingga Julai ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata pilihan berkenaan adalah sama ada Kerajaan Persekutuan mengambil alih pengurusan air Selangor melalui Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2005 (Akta 655) atau menilai semula sama ada melanjutkan atau membatalkan perjanjian penstrukturan semula industri air negeri itu.

"Jika masalah margin air pada kadar kosong berterusan dan Kerajaan Selangor enggan menyelesaikan apa yang perlu termasuk membuat tawaran kepada Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH), kita akan pertimbangkan peruntukan mengikut Akta 655 yang mana demi kepentingan awam, Seksyen 114 boleh diguna pakai untuk Kerajaan Persekutuan mengurus air Selangor.

"Selain itu, jika selepas Julai ini belum juga selesai, saya berpandangan Kerajaan Persekutuan akan menilai semula jika mahu melanjutkan lagi atau tidak perjanjian itu.

"Jika tidak dilanjutkan, perjanjian akan terbatal dan dengan itu, akan kembali semula kepada asal. Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan apa peranannya dan kemungkinan akan terus menawarkan untuk mengurus air Selangor melalui akta berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan anugerah pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) 2017 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, timbalannya, Datuk Seri Dr James Dawos Mamit dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

Pada 12 Mac lalu, Zaini berkata, Kerajaan Selangor diberi masa empat bulan hingga Julai depan untuk bersetuju melaksanakan proses migrasi bagi mengelak krisis air di negeri itu menjadi lebih buruk.

Maximus berkata, Kerajaan Persekutuan sudah melakukan segala yang perlu untuk menyelesaikan krisis air di Selangor, namun hingga kini masih menunggu kerajaan negeri menyempurnakan model penstrukturan semula industri air melalui pengambil alihan SPLASH.

"Mereka harus membuat tawaran kepada SPLASH kerana ini berdasarkan prinsip 'winning buyer, winning seller'. Kerajaan Persekutuan tidak boleh masuk, kemudian menyatakan harga untuk mereka kerana kita penyedia dana dan pemudah cara.

"Anda sebut harga dan setuju, kemudian datang kepada kita beritahu berapa jumlah wang diperlukan daripada Kerajaan Persekutuan. Bagaimanapun, sampai sekarang mereka tidak mahu tawar dan sudah tiga kali perjanjian utama dilanjutkan sejak lebih dua tahun lalu," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment