Ka Chuan serah nasib pada PM

Friday, April 6, 2018

Ka Chuan serah nasib pada PM

Ka Chuan serah nasib pada PM

SLIM RIVER: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan, menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk menentukan kedudukannya sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Setiausaha Agung MCA itu yang juga Ahli Parlimen Tanjung Malim berkata, soal calon di Parlimen itu akan ditentukan oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) dan beliau akan meneruskan kerja sebagai wakil rakyat sehingga saat akhir untuk memastikan siapa sahaja calon BN bertanding di kerusi itu dapat mengekalkan kemenangan.

Katanya, beliau yakin kemenangan berpihak kepada BN kerana semua wakil rakyat BN termasuk sebelumnya memberikan khidmat terbaik kepada rakyat, bukan seperti pembangkang yang hanya bertungkus-lumus turun padang ketika pilihan raya.

"Banyak jasa dan transformasi yang sudah dilakukan oleh Perdana Menteri kepada negara ini dan saya yakin BN terus di hati rakyat dan akan terus menyokong BN dalam PRU14 nanti.

"Bagi penduduk parlimen ini, Perdana Menteri telah memberikan tiga hadiah besar kepada penduduk di sini iaitu Pembinaan Kluster Kilang PRORON, Tanjung Malim sebagai Bandar Belia 1Malaysia serta Bandar Pendidikan dengan mewujudkan Institut Latihan Teknikal dalam bidang automatif.

"Saya akan meneruskan kerja-kerja untuk rakyat dan sekiranya saya tidak terpilih sebagai calon di parlimen ini sekalipun, saya akan terus membantu BN untuk mencapai kemenangan dalam PRU ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Van Jenazah kepada ahli kariah Masjid FELDA Besout Satu, dekat sini, hari ini.

Kerusi Parlimen Tanjung Malim antara menjadi perhatian dan bualan ramai di Perak apabila Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri yang juga Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon, dikatakan mahu bertanding di kerusi itu.

Pada PRU13, Ka Chuan menang di kerusi berkenaan dengan majoriti 4,328 undi menewaskan Tan Yee Kew dari PKR.

Terdahulu pada majlis itu yang diadakan selepas solat Jumaat, Ka Chuan menyerahkan van jenazah jenis Foton View C2 buatan China bernilai RM90,000 kepada Pengerusi Jawatankuasa Masjid FELDA Besout Satu, Mohd Hassan Husin.

Setiausaha masjid berkenaan, Sulaiman Anang, 72, ketika ditemui berkata sebelum ini ahli kariah terpaksa menggunakan van jenazah yang sudah uzur berusia 20 tahun.

Katanya, van baharu dan lengkap itu memudahkan ahli kariah menguruskan jenazah ke tanah perkuburan apabila berlaku kematian.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment