Insentif bukan 'gula-gula politik' - KSN

PORT DICKSON: Sembilan khabar gembira disampaikan Datuk Seri Najib Razak semalam yang memanfaatkan penjawat awam dan pesara kerajaan, bukan 'gula-gula politik' untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata sebaliknya insentif itu membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan masyarakat, terutama kakitangan awam.
"Pengumuman terbaru itu adalah yang ke-16 dibuat oleh kerajaan, jadi jika ia disifatkan sebagai gula-gula, pastinya tidak benar sama sekali.
"Pengumuman insentif adalah perkara biasa bagi penjawat awam. Ini membuktikan kerajaan berkemampuan untuk terus memberi manfaat terbaik kepada penjawat awam dan pesara yang berkhidmat kepada negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi dialog tertutup dengan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Segenting di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Ali berkata, insentif terbaru itu adalah yang terbaik setakat ini, termasuk menyaksikan seramai 1.6 juta kakitangan awam menerima kenaikan gaji tahunan berkuat kuasa 1 Julai depan.
"Rata-rata kenaikan itu melebihi 20 peratus dan ia menjadi kenyataan apabila negara berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi kukuh pada 5.9 peratus.
"Kita merasakan bahawa penjawat awam layak mendapat ganjaran dan tidak patut ada pihak mempolitikkan berita baik itu," katanya
Perdana Menteri mengumumkan sembilan khabar gembira berkenaan ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 (MAPPA XVI) di hadapan lebih 10,000 penjawat awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment