ECRL rahmat bagi penduduk Pantai Timur

Monday, April 2, 2018

ECRL rahmat bagi penduduk Pantai Timur

ECRL rahmat bagi penduduk Pantai Timur

TEMERLOH: Pengundi di Pantai Timur Semenanjung perlu memilih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi memastikan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dapat diteruskan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, berkata projek bernilai RM55 bilion itu adalah antara komponen penting dalam memacu kemajuan di Pantai Timur dengan meningkatkan sistem perhubungan.

Katanya, pelaksanaan ECRL dibuat secara teliti kerana turut membabitkan penyediaan kereta api kargo yang membolehkan barangan dibawa dari Pantai Barat ke Pantai Timur, sekali gus menjadikan Pelabuhan Kuantan yang sedang dibesarkan sebagai pelabuhan utama.

"Kita terkejut apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan kenyataan bahawa pembangkang akan menghentikan ECRL jika menang PRU-14. Projek ini sebenarnya sudah lama dirancang namun hanya dilaksanakan apabila Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri.

"Ia (projek ECRL) adalah satu rahmat buat warga Pantai Timur kerana perjalanan dapat dipendekkan. Contohnya perjalanan dari Tumpat, Kelantan ke Kuala Lumpur hanya dalam tempoh empat jam bukan 14 jam seperti didakwa.

"Harus diingat ada juga kereta api membawa kargo (dalam ECRL) yang membolehkan barangan dihantar dengan mudah dari Pantai Barat ke Pantai Timur, sebab itu Perdana Menteri besarkan Pelabuhan Kuantan dan menjadi pelabuhan utama, ia dapat menjimatkan kos," katanya.

Beliau ditemui selepas pelancaran Jentera BN Parlimen Temerloh PRU-14 yang disempurnakan Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak di sini, malam tadi.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir pada Program Bicara Bersama Tun M Siri 2.0: Cabaran Ekonomi Anak Muda yang tidak menolak kemungkinan PH akan menghentikan projek ECRL jika menang dalam PRU-14.

Pengerusi PH itu mendakwa projek bernilai adalah satu pembaziran kerana tiada keperluan kemudahan itu disediakan untuk rakyat.

Mengulas lanjut, Mohd Sharkar yang juga Pengerusi BN Temerloh, berkata rakyat di Pantai Timur harus menjadikan kenyataan Dr Mahathir itu sebagai satu cabaran untuk memberi kemenangan kepada BN pada PRU-14.

"Kalau pembangkang menang, Pantai Timur akan terus mundur dan kalau hendak maju beri sokongan kepada BN supaya dapat diteruskan projek ECRL, sekali gus memajukan negeri di Pantai Timur.

"Di negara maju kebanyakannya mempunyai sistem kereta api laju bagi meningkatkan perhubungan dan pada masa sama memberi limpahan kepada kawasan berhampiran.

"Ia bukannya kereta api biasa tetapi kereta api laju yang berkelajuan 200 kmj. Apabila siap kelak, orang tinggal di Temerloh boleh bekerja di Kuala Lumpur kerana perjalanan mengambil masa yang singkat," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment