Bot pelarian Rohingya diserah kepada Jabatan Imigresen

Tuesday, April 3, 2018

Bot pelarian Rohingya diserah kepada Jabatan Imigresen

Bot pelarian Rohingya diserah kepada Jabatan Imigresen

ALOR SETAR: Bot disyaki membawa 56 pelarian Rohingya yang dilaporkan belayar dari Thailand dua hari lalu, ditemui selamat oleh pihak berkuasa di Langkawi pada jam 9.10 pagi tadi.

Mereka ditemui pada kedudukan 0.1 batu nautika dari Pulau Nyior Setali berhampiran Pulau Tuba di sini, oleh aset Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) yang ditugaskan membuat rondaan sejak semalam.

Pengarah Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said, berkata seramai 19 lelaki, 17 wanita, 12 kanak-kanak perempuan dan lapan kanak-kanak lelaki berada di dalam bot berkenaan.

Beliau berkata, pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memberi bantuan awal seperti makanan, minuman dan perubatan diperlukan.

"Bot itu kemudian diiring ke Jeti Kuala Kedah untuk diserahkan kepada Jabatan Imigresen Kedah bagi proses selanjutnya mengikut prosedur berikutan memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.

"Pihak APMM amat memandang serius terhadap isu pencerobohan di seluruh perairan Malaysia. Namun atas dasar kemanusiaan, pelarian terbabit tetap diberi layanan baik dengan dihulurkan bantuan makanan, minuman dan perubatan," katanya.

Kelmarin, media melaporkan sebuat bot membawa sekurang-kurang 56 pelarian Rohingya terkandas di sebuah pulau di Thailand ketika dalam perjalanan ke Malaysia akibat cuaca buruk.

Bot yang sarat membawa penumpang lelaki, wanita dan kanak-kanak itu dipercayai berlabuh seketika di pantai barat Thailand berhampiran wilayah Krabi.

Beberapa gambar menunjukkan pelarian terbabit ditemu bual ketika berlabuh dan diiring kembali ke bot mereka sebelum berlepas.

Gabenor Krabi, Kitibodee Pravitra dilapor mengesahkan penumpang bot berkenaan adalah pelarian Rohingya tetapi tidak mengetahui dari mana mereka datang.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment