Aisyah Afiqah, pelajar tingkatan tiga bintang sukan olahraga

Tuesday, April 3, 2018

Aisyah Afiqah, pelajar tingkatan tiga bintang sukan olahraga

Aisyah Afiqah, pelajar tingkatan tiga bintang sukan olahraga

HULU TERENGGANU - 'Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.’ Perumpamaan itu sesuai buat seorang pelajar Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (Sahut), di sini, yang mengikut jejak langkah ayahnya dan kian menempa nama dalam arena sukan olahraga.

Berusia 15 tahun, Aisyah Afiqah Halizan bukan sekadar permata berharga bagi pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan daerah  tetapi juga Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, apatah lagi tiga tahun berturut-turut  terpilih wakili negeri ke Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

Pencapaian tertinggi anak kedua daripada lima beradik ini sehingga kini ialah merangkul tempat keempat bagi acara 2,000 meter (m) lari berhalangan dalam Kejohanan Olahraga MSSM 2017 berlangsung di Pulau Pinang.

Terbaharu, pelajar ini leburkan rekod Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Terengganu (MSST) dalam acara 2,000 m lari berhalangan dengan catat masa baharu 08:24:15 mengatasi  catatan 8:35:15 saat milik seorang atlet Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kuala Nerus, pada kejohanan tahun 2016 lalu.

Berkongsi cerita, gadis manis ini berkata, penglibatannya dalam bidang sukan olahraga bukan sekadar disokong penuh ayahnya, Halizan Mat Yusof, 45, tetapi dia cukup bertuah kerana insan kesayangannya itu turut bertindak sebagai jurulatih pertama bagi dirinya.

“Ayah seorang guru, ketika di bangku sekolah saya sering ikuti beliau melatih anak-anak didiknya, dari situ timbul minat terhadap bidang olahraga ini, apatah lagi ayah berikan galakan serta sokongan tidak berbelah bahagi," katanya.

Aisyah Afiqah berkata, ayah menjadi tulang belakangnya dalam bidang ini.

“Bermula darjah empat ketika di Sekolah Kebangsaan Seri Berang, saban tahun saya sertai kejohanan merentas desa sehingga peringkat negeri dan sewaktu berusia 12 tahun dapat terpilih ke peringkat MSSM dengan mendapat tempat ke-20.

“Penglibatan saya dalam sukan olahraga ini kian aktif setelah melangkah ke sekolah menengah.

"Bermula dari tingkatan satu sehingga sekarang saya terpilih wakili negeri setiap tahun dan capai kejayaan tertinggi mendapat kedudukan keempat dalam acara 2,000m lari berhalangan," katanya.

Dia berkata, kecemerlangan dalam bidang sukan itu juga membolehkan dia terpilih ikuti Program Pembangunan Sukma di bawah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).

 Kata Aisyah Afiqah, impiannya dalam masa terdekat ini adalah untuk terpilih sebagai atlet Sukma kontinjen Terengganu.

“Saya memang berharap agar dapat terpilih untuk ke Sukma 2018 bakal diadakan di Perak nanti dan dimaklumkan, pemilihan untuk kelayakan diadakan secara tiga peringkat.

"Syukur, peringkat pertama telah selesai, sekarang ini fokus untuk dua peringkat seterusnya pula,” ujarnya.

Disiplinkan diri dengan gaya pemakanan

Menyentuh mengenai corak pemakanan, pelajar yang mempunyai hobi membaca contoh karangan ini berkata, dia akan pastikan setiap hari mengambil makanan sunnah iaitu kismis dan kurma selain makanan tambahan yang lain.

“Kurma dapat bekalkan tenaga, biasanya saya makan tiga biji sehari dan akan berbuat demikian juga apabila hendak sertai latihan.

"Kalau kismis tiada bilangan khusus, saya makan selagi rasa ingin makan tetapi akan disiplinkan diri untuk makan setiap hari.

“Bagi memastikan prestasi di tahap terbaik, sebulan sebelum berlangsung sesuatu kejohanan terutamanya yang besar saya akan pantang ais, makanan-makanan yang pedas serta masam. Waktu ini, mahu atau tidak kena kuat semangat tepis godaan," katanya.

Gadis itu berkata lagi, berbekalkan stamina dan prestasi di tahap terbaik dengan diiringi semangat serta jiwa untuk menang, barulah  boleh lakukan yang terbaik.

"Setiap kali turun ke gelanggang atau pentas kejohanan untuk berjuang, saya akan pastikan turun dengan tekad sebagai juara.

“Semangat itu juala selalu dititipkan jurulatih dan ayah.

"Selain saya, abang Afiq Aiman, 17, serta adik Asyraf Aiman, 12, juga ceburkan diri dalam bidang sukan. Kami adik-beradik sentiasa disokong penuh ayah serta ibu, Hayati Amad, 43, yang juga seorang guru,” katanya.

Pencapaian sukan seiring kecemerlangan akademik

Menurut Aisyah Afiqah, walaupun sibuk, namun dia akan pastikan dirinya tidak tercicir dalam pelajaran bagi memastikan dia mampu merealisasikan impian menggapai cita-cita untuk bergelar ahli fisioterapi pada masa hadapan.

“Mana-mana lokasi kejohanan disertai, saya akan bawa buku untuk dibaca dan akan gunakan peluang masa rehat untuk membaca.

"Lagipun, ayah selalu pesan agar sentiasa bawa buku bersama, walaupun sehelai sahaja dapat dibaca tidak mengapa kerana itu lebih baik daripada tiada.

“Memandangkan hobi saya membaca contoh karangan tentunya buku berkaitan tidak dilupakan.

"Tahun ini saya akan menduduki PT3, pastinya ia  menuntut saya untuk lebih bijak menguruskan masa untuk seimbangkan antara pelajaran dan juga sukan,” ujarnya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment