BN Kelantan akan letak calon baharu

Friday, April 6, 2018

BN Kelantan akan letak calon baharu

BN Kelantan akan letak calon baharu

KOTA BHARU: Barisan Nasional (BN) mungkin meletakkan calon baharu di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu Parlimen di Kota Bharu pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

Ketua UMNO bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh, berkata calon baharu itu terdiri daripada golongan muda, pertengahan dan dewasa yang akan bertanding di DUN Bunot Payong, Kota Lama dan Tanjong Mas.

Katanya, calon baharu dikemukakan kerana mahu memberi peluang kepada rakyat untuk membuat pilihan terhadap muka baharu.

"Ini menunjukkan bahawa UMNO dan BN mempunyai ramai calon dan tidak ketandusan pemimpin.

"Siapa calon berkenaan, kita kena tunggu Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) umumkan nanti. Kita kena bagi satu tawaran istimewa kepada rakyat terutama orang (calon) yang kuat bekerja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Pelancaran Jentera Pilihanraya Pergerakan Puteri UMNO Parlimen Kota Bharu, di Dewan UMNO negeri Kelantan, di sini, sebentar tadi.

Turut hadir, Ketua Puteri UMNO Kelantan, Marzuani Ardilla Ariffin; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kota Bharu, Wan Rasman Wan Hassan dan Ketua Puteri UMNO Kota Bharu, Wan Salmiah Wan Ab Ghani.

Mohamad Fatmi berkata, calon yang bakal bertanding harus pandai mendekati dan berkomunikasi dengan lebih 39,000 pengundi muda di Kota Bharu.

Sementara itu, Marzuani Ardilla, berkata puteri Kelantan akan berjuang habis-habisan bagi memastikan UMNO dapat menawan Kelantan pada PRU14.

"Lebih 10,000 jentera puteri UMNO di negeri ini akan bekerja keras bersama-sama calon yang dipilih," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment