Mahu tersenarai antara 5 farmaseutikal generik terulung Asia

Friday, April 6, 2018

Mahu tersenarai antara 5 farmaseutikal generik terulung Asia

Mahu tersenarai antara 5 farmaseutikal generik terulung Asia

CCM Duopharma Biotech Berhad (Duopharma) menjangkakan kilang baharu Effervescent di Bangi, akan meletakkan syarikat di barisan depan pembangunan teknologi sebagai pengeluaran produk farmaseutikal berkualiti tinggi.

Dengan menggunakan teknologi Effervescent, ia menawarkan kelebihan berbanding pengeluaran produk penjagaan kesihatan secara konvensional.

Sejak mula beroperasi pada Oktober 2017, kilang Effervescent bernilai RM7 juta itu mempunyai kapasiti mengeluarkan 107 juta tablet Flavettes Effervescent Vitamin C setahun.  

Pengarah Urusan Kumpulan CCM Duopharma Biotech Berhad, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, menerusi pelaburan terbaharu ini, Duopharma bersedia memperkenalkan pelbagai produk Effervescent di bawah rangkaian jenama OTC (tanpa preskripsi) semasa syarikat yang telah memenangi anugerah, seperti Flavettes, Champs, Proviton dan Uphamol.

Katanya, pada November 2017, Duopharma melancarkan empat produk Effervescent baharu di bawah jenama Flavettes, dan rangkaian produk Vitamin C ini diterima baik oleh pasaran, dengan permintaan yang amat memberangsangkan.

"Kemudahan pengeluaran terbaharu Duopharma adalah sebahagian daripada Strategi Pengoptimuman Pengeluaran (MOS) Syarikat, termasuk rasionalisasi dan naik taraf kemudahannya untuk mempercepatkan pertumbuhan.

“Terdapat permintaan tinggi bagi produk farmaseutikal Effervescent, terutamanya Flavettes Effervescent Vitamin C kerana banyak kelebihan fungsinya yang ditawarkan kepada pengguna termasuk sebagai makanan kesihatan tambahan yang jauh lebih mudah tanpa perlu menelan pil dan memberikan rasa yang enak berbanding pil biasa.

“Sebagai syarikat farmaseutikal terkemuka di Malaysia, Duopharma berusaha mempelopori teknologi baharu, kerana kami sentiasa mencari cara untuk meningkatkan pengalaman pelanggan. Penghasilan dan pengeluaran produk Effervescent memerlukan pengetahuan khusus dan kemahiran teknologi disertakan dengan infrastruktur persekitaran yang terbaik untuk mengawal suhu dan kelembapan kemudahan pengeluaran bagi memastikan kestabilan produk yang optimum,” katanya.

Beliau menambah, teknologi Effervescent membolehkan tablet atau pil menjadi larutan sebaik sahaja tersentuh air dan membolehkan bahan aktif larut sekata sepenuhnya untuk diserap lebih cepat ke dalam saluran darah berbanding formula konvensional, lantas membolehkannya bertindak dengan lebih cepat.

“Kami beroperasi dalam industri yang sangat kompetitif dan bergerak pantas. Justeru, kami mengakui keperluan untuk melabur dan mengguna pakai teknologi baharu untuk mendahului persaingan.

"Kami berbangga menjadi syarikat farmaseutikal pertama di Malaysia yang membawa teknologi Effervescent ke pasaran tempatan dan yakin peralatan kilang yang serba canggih dan kepakaran kami akan menyumbang kepada usaha mencapai matlamat menjadi satu daripada lima syarikat farmaseutikal generik terulung di Asia Tenggara menjelang 2022,” katanya.


 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment