Baru buka sudah dicekup

Thursday, April 5, 2018

Baru buka sudah dicekup

Baru buka sudah dicekup

KUALA LUMPUR: Polis menggempur premis perjudian simulator terbesar di ibu kota dan merampas 35 mesin simulator bernilai RM500,000 di Taman Shamelin Perkasa, jam 2 petang tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata premis berkenaan baru sejam beroperasi sebelum diserbu sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan lapan individu termasuk seorang pekerja premis berkenaan ketika serbuan dijalankan.

"Sindiket perjudian ini baru sejam beroperasi, semua peralatan di premis ini adalah baru, namun tidak sempat digunakan kerana tindakan pantas polis.

"Kita (polis) tidak akan memberi ruang dan peluang untuk mereka (sindiket perjudian) ini beroperasi," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini, hari ini.

Mazlan berkata, serbuan itu adalah serbuan terbesar bagi polis kontinjen Kuala Lumpur untuk tahun ini.

"Saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, terutama jika ada yang masih berani membuka premis perjudian haram ini.

"Di premis ini terdapat 35 mesin simulator yang dianggarkan bernilai RM500,000. Mereka turut menyediakan pelbagai kemudahan termasuk makan kepada pemain judi," katanya.

Menurutnya, semua yang ditahan dibawa ke IPD Cheras untuk pemeriksaan lanjut dan proses dokumentasi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(B)(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment