50 usahawan PKS, peniaga terap ilmu perniagaan

KLUANG: Peserta Kursus Asas Perniagaan hari ini menyifatkan taklimat disampaikan wakil agensi berkaitan fungsi masing-masing banyak menambah ilmu dalam memajukan perniagaan.
Mereka berpendapat kursus sehari itu membolehkan peserta mengenal pasti masalah dalam memperluaskan perniagaan, sekali gus mengatasinya agar dapat memasarkan produk secara berkesan.
Peserta, Nooraini Khalib, 32, yang mengusahakan makanan ringan di Taman Kluang Indah, dekat sini, berkata kursus itu banyak menambah pengetahuannya dalam selok-belok perniagaan.
Katanya, beliau baru sedar industri makanan ringan khususnya makanan tradisional Melayu mempunyai ruang pasaran yang luas dan ramai pembeli menyebabkannya bertekad mengembangkan perusahaan.
"Langkah pertama saya selepas ini adalah mendapatkan modal pusingan secukupnya sebelum mengatur semula perusahaan.
"Konsep saya, jika orang lain boleh melakukannya, kenapa saya tidak boleh dan kata-kata ini sentiasa menjadi pendorong untuk berjaya dalam perusahaan ini," katanya yang ditemui pada penutupan kursus di sini, hari ini.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md Jais Sarday dan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Gemilang Johor, Jory Masikon.
Seramai 50 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), peniaga pasar malam, pasar tani dan gerai mengikuti kursus anjuran Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Gemilang Johor (Cawangan Kluang) itu.
Bagi Fatin Nazatul Azwa Zainal Abidin, 25, pula kursus yang disertainya itu banyak memberikan panduan untuk mengembangkan perusahaan butik kecantikan yang dibuka sejak lima tahun lalu.
"Kelemahan promosi menjadi faktor utama perusahaan saya kurang mendapat sambutan dan ia akan ditingkatkan menerusi ilmu keusahawanan yang saya hadiri ini," katanya.
Pengerusi Cawangannya, Mohd Fuad Idris, berkata peserta adalah sebahagian daripada 148 ahli persatuan di Kluang yang mengikuti taklimat disampaikan wakil beberapa agensi berkaitan.
Katanya, antara agensi terbabit ialah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) dan Agrobank.
"Pendedahan ini membolehkan peserta merancang semula strategi perniagaan yang sebelum ini mungkin kurang berupaya menembusi pasaran," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment