UniSZA ada The Meow Park

Wednesday, April 4, 2018

UniSZA ada The Meow Park

UniSZA ada The Meow Park

GONG BADAK - Nasib kucing terbiar di sekitar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kini terbela apabila The Meow Park atau taman kucing  diwujudkan di universiti itu seminggu yang lalu.

Usaha murni yang dibuat 22 pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah) itu turut membuka peluang kepada orang ramai untuk 'berkongsi' pahala dengan membantu menyumbang dana bagi menguruskan taman haiwan peliharaan kesayangan ramai itu.

Projek bantu dan tular itu dibuat bagi memenuhi subjek Kesukarelawan Kontemporari memilih kucing selepas melihat  haiwan itu sering terbiar dan tidak diberikan makanan.

Pengarah Projek Meow Park, Hanif Haikal Ahmad Zaini berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk menyiapkan taman kucing yang terletak berdekatan kolej kediaman pelajar itu.

Jelasnya, buat permulaan sebanyak 11 ekor kucing ditempatkan di taman yang mempunyai empat buah sangkar yang juga dibina sendiri oleh kumpulan sukarelawan itu.

Sangkar kucing yang dibina oleh sukarelawan yang kebanyakkan menggunakan barangan terpakai.

"Kita membina taman ini dengan kos RM500 hasil kutipan daripada ahli-ahli kira seramai 22 orang ini.

"Selain itu kita juga mendapat bantuan daripada pihak universiti dan kebanyakkan peralatan bagi membina taman ini kita gunakan barangan kitar semula,"katanya.

Katanya lagi, meskipun baharu seminggu taman itu diwujudkan, namun sambutan yang diterima sangat positif.

"Ketika ini kita ada menerima sumbangan makanan kucing, peralatan dan wang daripada pelbagai pihak.

"Dalam sehari kita memerlukan kira-kira RM50 untuk kos makanan, susu dan penjagaan bagi 11 ekor kucing ini

"Jadi kita sangat memerlukan sumbangan dan bantuan daripada ramai pihak,"katanya.

Jelas Hanif Haikal lagi, taman kucing yang dibuka setiap hari mulai jam 9 pagi hingga 7 petang itu juga dijaga secara bergilir-gilir mengikut jadual.

"Buat masa ini kita bahagikan tugas mengikut jadual dan kita juga mengalu-alukan sukarelawan untuk sertai kami.

"Penjagaan yang kita berikan ini bukan sahaja memberi makan, tetapi juga merawat dan memastikan kawasan taman ini sentiasa bersih,"katanya.

Jelasnya lagi, kucing-kucing yang cedera juga turut diberikan rawatan dan pihaknya juga turut menjalin kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Vaterinar.

Ditanya mengenai perancangan pada masa akan datang, pihaknya juga bersedia untuk menerima kucing-kucing daripada luar dan mengadakan program kucing angkat.

Selain itu, projek taman kucing berkenaan akan dikembangkan lagi dengan membuka pusat dandanan dan tempat penginapan haiwan peliharaan itu bagi pemilik yang ingin bercuti di luar negeri.

Sukarelawan menyusukan anak kucing terbiar yang ditempatkan di The Meow Park.

"Membuka pusat penginapan bagi kucing ini merupakan perancangan jangka masa panjang bagi projek yang kita laksanakan ini.

"Bagaimanapun bagi memastikan usaha murni yang dilakukan ini berterusan kita sangat mengharapkan bantuan dan sumbangan ramai,"katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung dan pelajar universiti berkenaan, Nurul Bahiah Burhanuddin, 21, berkata, dia tertarik untuk mengunjungi taman itu selepas mengetahui daripada rakan-rakan yang lain.

"Saya lihat usaha yang dilakukan kumpulan sukarelawan ini sangat baik dan murni, jadi ia wajar disokong semua pihak,"kata pelajar Fakulti Kontemporari Pengajian Islam dan Syariah.

Manakala seorang lagi pelajar yang ditemui, Saidatul Munirah Sharifuddin berkata, meskipun bukan peminat tegar kucing, namun dia sangat menyokong usaha tersebut.

"Idea kreatif ini sangat menarik dan membuka peluang kepada orang lain untuk melakukan aktiviti amal,"katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment