UMP bantu pelajar luar bandar minati STEM

Friday, April 6, 2018

UMP bantu pelajar luar bandar minati STEM

UMP bantu pelajar luar bandar minati STEM

KUANTAN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu Universiti Malaysia Pahang (UMP) meningkatkan pembudayaan dan pemupukan minat pelajar sekolah luar bandar berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Canselor UMP itu bertitah, ia perlu diterjemahkan secara intensif menerusi projek dan inisiatif yang dapat memberi impak kepada kumpulan sasaran secara langsung, sejajar slogan Memasyarakatkan Teknologi yang mendasari pelaksanaan Pelan Strategik UMP 2016-2020.

Baginda bertitah, UMP juga perlu luaskan kerjasama dengan pihak lain dari dalam dan luar negara selain inisiatif sedia ada dengan agensi seperti Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Majlis Ugama Islam dan Adat Melayu Pahang (MUIP), sektor swasta dan kerajaan negeri.

Titahnya, pengurusan universiti turut diminta memberi penekanan kepada aspekpeningkatan penguasaan bahasa Inggeris kepada pelajar luar bandar.

Baginda bertitah, agenda pemerkasaan STEM dan bahasa Inggeris itu menuntut interaksi strategik berterusan UMP dan Jabatan Pendidikan negeri untuk mengenalpasti sekolah yang memerlukan perhatian dan sentuhan kepakaran universiti ini selain nilai tambah kepada kandungan pengajaran dan pembelajaran.

"Beta juga dimaklumkan UMP sudah memulakan gerak kerja pelaksanaan inisiatif Kuala Pahang Facelift 2.0 yang memberi tumpuan kepada aspek motivasi diri, literasi pengetahuan, STEM dan Bahasa Inggeris melalui pembabitan warga kerja dan pelajar universiti ini.

"Malah, beta turut memperkenankan nama Kuala Pahang House atau singkatannya KP House kepada sebuah fasiliti yang sedang dibangunkan oleh UMP di Kampung Kuala Pahang sebagai pusat sehenti aktiviti dan interaksi antara warga UMP dan generasi muda di Kampung Kuala Pahang," titahnya.

Tengku Abdullah bertitah demikian pada Anugerah Cendekia Bitara dan Anugerah Akademik Cemerlang UMP di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah, Datuk Seri Ibrahim Ahmad, Naib Canselor, Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim.

Seramai 67 penerima bagi kategori jurnal, tujuh penerima kategori produk penyelidikan, lima penerima kategori paten, dua kumpulan penerima kategori kualiti dan kreativiti serta masing-masing seorang penerima tokoh, buku dan geran antarabangsa.

Tengku Abdullah juga berkata, baginda mahu melihat KP House tersebut benar-benar dapat diupayakan sebagai wahana transformasi pengetahuan dan pendidikan dalam kalangan masyarakat setempat dan boleh dijadikan model rujukan yang boleh ditanda aras oleh organisasi lain sama ada dari dalam atau luar negara.

Sementara itu, Daing Nasir berkata, mengikut pangkalan data SCOPUS, sebanyak 10,566 penerbitan berimpak tinggi dihasilkan pensyarah UMP sepanjang tahun lalu, meningkat 28 peratus jumlah sitasi (citation) berbanding 7,532 penerbitan pada tahun 2016.

"Kajian pangkalan data Incite mendapati bahawa 64 peratus daripada keseluruhan artikel penyelidikan yang diterbitkan UMP tersenarai sebagai hot papers yang membuktikan keupayaan pensyarah universiti ini menghasilkan karya ilmiah yang berimpak tinggi," katanya



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment