Terus utuh walau tiada tonggak

Tuesday, April 3, 2018

Terus utuh walau tiada tonggak

Terus utuh walau tiada tonggak

SELEPAS PRU13, tumpuan terhadap pembangunan infrastruktur menjadi agenda utama di  Parlimen Paya Besar, demi memenuhi keperluan kira-kira 55,231 pengundi.

Parlimen Paya Besar, satu-satunya kawasan di Kuantan yang terus kekal dikuasai BN selepas PRU13.

Kemenangan itu menyaksikan tiga kerusi iaitu Dun Panching, Dun Sungai Lembing dan Dun Lepar selamat dan terus diwakili oleh Adun BN/Umno.

Sehingga kini, janji-janji yang dibuat ketika PRU13 dahulu telah ditunaikan semasa khidmat Ahli Parlimen Paya Besar, Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail yang meninggal dunia pada 12 Februari lalu.

Situasi kini pastinya sedikit mencabar buat kepimpinan BN di Paya Besar apabila kehilangan tonggak utama, apatah lagi Dun Lepar turut ‘kosong’ selepas kematian Adunnya, Allahyarham Datuk Sohaimi Jusoh pada 31 Disember tahun lalu.

Namun, menyingkap kembali semua usaha yang sudah dilaksanakan kedua-duanya, masyarakat di Paya Besar pastinya tidak mampu menafikan sumbangan Allahyarham terhadap pembangunan dinikmati rakyat kini.

Setiausaha Umno Bahagian Paya Besar, Datuk Salihudin Ishak berkata, agenda pembangunan infrastruktur dan penyediaan kemudahan bagi keselesaan rakyat menjadi tumpuan utama.

Menurutnya, sepanjang perkhidmatan Allahyarham, kemudahan dewan orang ramai dan masjid di setiap kawasan adalah keperluan wajib ditunaikan.

“Melalui peruntukan Program Mesra Rakyat (PMR) berjumlah RM6 juta setahun, kemudahan masjid dan dewan dibina.

“Setakat ini, tiga  masjid iaitu di Felda Bukit Kuantan sedang dalam pembinaan, manakala dua  masjid bakal dibina di Felda Bukit Sagu dan Batu 6, Kampung Kolek masih dalam proses awal,” katanya kepada Sinar Harian.

Salihudin berkata, kemudahan dewan turut merangkumi kawasan penempatan Orang Asli iaitu di Kampung Bukit Bangkong dan Kampung Sungai Mas siap dibina.

Katanya, kemudahan itu adalah salah satu agenda kepimpinan di Parlimen Paya Besar yang mempunyai pelbagai latar belakang penduduk.

“Kawasan Paya Besar mempunyai populasi penduduk yang pelbagai bermula kampung tradisi, tanah rancangan Felda, Orang Asli, Cina, India dan lain-lain.

“Justeru, keperluan semua golongan ini perlu dipenuhi dan ia menjadi prinsip kepada pemimpin di Paya Besar menyediakan kemudahan di semua kawasan,” katanya.

Selain itu katanya, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang juga dapat dinikmati rakyat di Paya Besar apabila terdapat beberapa kawasan menjadi pilihan untuk projek itu, antaranya di Gambang.

Beliau berkata, bantuan pendidikan kepada golongan memerlukan, selain bantuan one off kepada pelajar berjaya melanjutkan pengajian di peringkat diploma dan ijazah turut diberikan.

Katanya, keselesaan jemaah di 37  masjid di seluruh Parlimen Paya Besar juga diutamakan apabila dilengkapi dengan pendingin hawa.

“Ia adalah tumpuan diberikan Ahli Parlimen Paya Besar ketika arwah berkhidmat.

“Malah ia tidak hanya tertumpu pada golongan veteran sahaja tetapi juga anak muda, apabila berjaya menganjurkan Kursus Perkahwinan Perdana dan Perkahwinan Beramai-ramai serta Majlis Khatan Perdana peringkat Parlimen Paya Besar. Ia membuktikan kita mengambil berat semua peringkat pengundi yang ada di bawah parlimen ini,” katanya.

Pada PRU13, Abdul Manan yang juga Ketua Umno Bahagian Paya Besar, menang dengan majoriti 7,715 undi. Beliau menewaskan calon PKR, Murnie Hidayah Anuar dan calon Bebas, Zahari Mamat.

#PRU14 #PRUSinar #ApaRakyatMahu



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment