Terkejut ular tedung dalam bilik

Monday, April 2, 2018

Terkejut ular tedung dalam bilik

Terkejut ular tedung dalam bilik

KUALA NERANG - “Pada awalnya adik saya menyangka kucing yang bergaduh tetapi rupanya ia angkara ular tedung selar yang mahu membaham biawak," kata Saiful Zaini Mohd Mahyadin,42, dari Kampung Kuala Janing, Mukim Tualak, di sini, semalam, setelah melihat bilik tidurnya berselerakan.

Menurutnya, ketika cuba mengemas biliknya tiba-tiba dia ternampak seekor ular sedang menjalar di besi tingkap dalam biliknya. Terkejut melihat haiwan reptilia itu, dia terus berlari ke luar untuk meminta bantuan dari ahli keluarganya.

“Bimbang dengan keselamatan lalu saya terus menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) supaya menangkap ular itu. Ular itu sangat besar dan kami sekeluarga tidak mampu untuk menangkapnya,” katanya.

Menurut Saiful Zaini, selepas kejadian itu barulah dia menyedari bahawa bunyi bising di rumahnya pada jam 6 petang kelmarin melibatkan ular tedung selar  itu dengan seekor biawak.

“Selepas ular itu berjaya ditangkap oleh APM, saya mengemas kembali bilik dan temui biawak mati yang berdarah di kepala.

"Saya yakin ular itu cuba membaham biawak itu dan sebab itu terdapat bunyi bising di dalam bilik seperti yang didakwa oleh adik saya pada petang itu. Bagaimanapun nasib baiklah saya sempat menyedari dengan kewujudan ular itu semasa pulang dari berniaga,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dia kini merasa ketakutan setiap kali tidur di dalam biliknya dengan kedatangan reptilia itu.

Sementara itu, Pegawai APM Padang Terap, Leftenan (PA) Roshidi Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.42 semalam. .

Operasi itu diketuai oleh Mohd Khairi Che Kamil bersama dengan empat anggota APM yang mengambil masa selama 20 minit untuk menangkapnya.

“Anggota kami terpaksa mengambil masa untuk menangkap ular tedung selar sepanjang empat meter itu kerana bersembunyi atas siling rumah itu," katanya.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment