Terkejut terima panggilan rumah terbakar

Monday, April 2, 2018

Terkejut terima panggilan rumah terbakar

Terkejut terima panggilan rumah terbakar

KULAI â€" “Rasa tak percaya kerana baru saja 20 minit saya keluar rumah, kemudian jiran maklumkan rumah saya terbakar,” cerita Hermawati Ujang, 28.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang semalam, rumah dihuni Hermawati bersama keluarganya sejak 10 tahun lalu yang terletak di Jalan Perwira dekat Taman Kulai Jaya, di sini, musnah terbakar.

Menurutnya, dia terus bergegas pulang sebaik menerima berita berkenaan, namun sebaik sahaja tiba, dia langsung tidak sempat menyelamatkan peralatan rumahnya termasuk stok barang niaganya yang baharu sahaja diambil daripada pembekal.

“Sebelum keluar rumah, saya sudah mula rasa tak sedap hati apabila anak bongsu yang berusia lima bulan ketika waktu tengah hari menangis tak henti serta merengek saja.

“Ketika kejadian, saya bersama suami dan anak bongsu keluar untuk mengambil stok barang terpakai di Ulu Tiram yang diminta oleh pelanggan. Jiran hubungi saya, tetapi saya tak perasan. Saya hubunginya semula dan benar-benar terkejut dimaklumkan tentang kejadian tersebut,” katanya yang memberitahu kerugian yang dialami dianggarkan bernilai lebih RM20,000.

Ibu kepada tiga anak itu bersyukur kerana ketika kejadian dua anaknya yang lain masih belum pulang dari sekolah berdekatan dengan rumahnya.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Penolong Penguasa Bomba Soleh Nasir berkata, satu jentera bersama tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulai diarahkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.50 petang.

Katanya, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Kulai turut memberi bantuan dalam operasi tersebut.

“Kebakaran rumah teres musnah 100 peratus dan turut menjejaskan sedikit rumah bersebelahan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca sebenar serta anggaran sebenar kerugian masih dalam siasatan,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment