'Datuk Seri' dalang kes tipu darjah kebesaran ditahan

Monday, April 2, 2018

'Datuk Seri' dalang kes tipu darjah kebesaran ditahan

'Datuk Seri' dalang kes tipu darjah kebesaran ditahan

IPOH: Seorang lelaki yang giat menjalankan kegiatan penipuan menggunakan nama Yang Dipertuan Agong, Sultan dan Perdana Menteri sejak tahun lalu diberkas polis bersama tiga lagi individu lain selain merampas dua pistol dalam serbuan di sebuah banglo mewah di Jalan Sultan Azlan Shah di sini, Jumaat lalu.

Dalang utama berusia 31 tahun yang menyamar sebagai Datuk Seri itu ditahan susulan polis menerima laporan dibuat seorang pengawal keselamatan yang mendakwa diugut dan dicederakan dengan pistol oleh suspek dalam kejadian di sebuah kondominium di Tambun di sini 11 Mac lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, berkata lelaki berkenaan dipercayai ada kaitan dengan sekurang-kurangnya 11 kes penipuan di Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, membabitkan kerugian kira-kira RM1.6 juta.

Menurutnya, modus operandi mereka adalah dengan menyamar sebagai Datuk Seri, kononnya wakil Perdana Menteri dan bekerja dengan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, yang menawarkan pelbagai projek selain gelaran Datuk dan Datuk Seri.

"Pada 11 Mac lalu, polis menerima laporan daripada seorang pengawal keselamatan di Montblue Residence, Tambun yang mendakwa diugut dan dihentak dengan pistol hingga cedera di dahi kiri oleh suspek yang mengaku sebagai orang kuat Perdana Menteri.

"Lelaki berkenaan dikatakan berang selepas pengawal terbabit enggan membenarkannya masuk ke kawasan kondominium terbabit kerana tidak mempunyai pas masuk," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Hasnan berkata, susulan laporan itu, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) dan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bertindak menjalankan siasatan dan mengesan suspek.

Katanya, polis yang berjaya mengesan suspek di sebuah banglo mewah bertindak menjalankan serbuan kira-kira jam 7 malam Jumaat lalu.

"Hasil serbuan, empat individu berusia 31 hingga 66 tahun diberkas membabitkan suspek utama berusia 31 tahun bersama isterinya dan dua lagi suspek.

"Hasil pemeriksaan di kediaman terbabit, polis berjaya merampas dua pistol jenis semi auto dan revolver bersama kelopak peluru dan peluru hidup selain pelbagai dokumen serta barangan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan menipu," katanya.

Menurutnya, antara barangan yang dirampas itu adalah 49 cop palsu membabitkan cop Yang Dipertuan Agong, cop kerajaan Malaysia, cop kerajaan negeri dan cop pelbagai agensi kerajaan.

Hasnan berkata, pihak polis turut merampas pelbagai dokumen dan sijil anugerah darjah kebesaran palsu, baju istiadat berserta songkok dan selempang serta sebuah kereta jenis Audi Q7 dan empat paket ganja.

"Semakan mendapati suspek utama mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah dan penipuan serta ujian saringan awal air kencing tiga daripada suspek adalah positif.

"Kesemua direman hingga 8 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 (ugutan), Seksyen 420 (menipu) di bawah akta yang sama selain Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (memiliki pistol), Seksyen 36 Akta Senjata 1960 (memiliki peluru) dan Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Hasnan berkata, pihaknya percaya suspek mungkin terbabit banyak lagi kes penipuan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau ditipu oleh suspek supaya tampil membuat laporan untuk membantu siasatan.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment