Segamat diisytihar wilayah baharu ECER - PM

Tuesday, April 3, 2018

Segamat diisytihar wilayah baharu ECER - PM

Segamat diisytihar wilayah baharu ECER - PM

SEGAMAT: Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan Segamat dimasukkan sebagai Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), iaitu kawasan pertumbuhan ekonomi baharu sebagai langkah meningkatkan pembangunan ekonominya.

Perdana Menteri berkata, langkah itu diharap membuka era baharu dalam pembangunan ekonomi Segamat dan memberi manfaat besar kepada kira-kira 500,000 penduduknya.

"Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr S Subramaniam selalu bisik kepada saya alangkah baiknya jika Segamat dimasukkan ke dalam kawasan ECER kerana kawasan ini ada hubung kait dengan Mersing serta Rompin yang sememangnya diletakkan dalam wilayah ekonomi berkenaan.

"Saya juga dimaklumkan banyak peneroka FELDA dari Mersing dan Rompin membeli-belah di Segamat.

"Oleh kerana kita memang nak bangunkan ekonomi di sini, maka saya isytiharkan Segamat dimasukkan dalam ECER, sebagai kawasan pertumbuhan baharu," katanya ketika melancarkan Majlis Pecah Tanah Projek Landasan Berkembar Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru di Jalan Kolam Air, di sini, hari ini.

Hadir sama, Mohamed Khaled, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan.

Najib turut mengumumkan, pembangunan semula Pelabuhan Darat Segamat (Segamat Inland Port) dengan kos RM20 juta.

Katanya, ia sebagai langkah membangunkan pelabuhan berkenaan secara lebih bersepadu dan holistik.

"Kita harap langkah meletakkan Segamat dalam ECER dan membangunkan semula Pelabuhan Darat Segamat, lebih banyak pelaburan akan memasuki kawasan ini, sekali gus memanfaatkan penduduk tempatan, " katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment