Sabah jamin kekalkan kestabilan politik

Sunday, April 8, 2018

Sabah jamin kekalkan kestabilan politik

Sabah jamin kekalkan kestabilan politik

TAWAU: Kerajaan Sabah memberi jaminan akan terus memartabatkan budaya dan tradisi rakyat serta kestabilan politik dan kemakmuran sosio ekonomi negeri ke arah melahirkan bangsa Malaysia yang terus cemerlang dan bersatu.

Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, berkata ia termasuk meneruskan penganjuran Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT), yang diilhamkan bekas Menteri Belia dan Sukan negeri, Allayarham Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata, FKAT adalah satu festival yang berjaya mengangkat nama daerah itu dan Sabah keseluruhannya menerusi kehadiran peserta festival luar negara, selain mengembangkan budaya dan kesenian etnik tempatan khususnya yang ada di Tawau.

"Percayalah, dengan ilhamnya (Tawfiq), kita akan terus membantu memartabatkan budaya dan tradisi kita serta menjamin kestabilan politik dan kemakmuran sosio ekonomi ke arah menjadikan bangsa Malaysia yang cemerlang dan bersatu padu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis pelancaran Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) Ketujuh yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Dataran Majlis Perbandaran Tawau (MPT), di sini, malam ini.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; isteri Musa, Puan Sri Faridah Tussin; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Yahya Hussin; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali dan Presiden MPT, Alijus Sipil.

Musa berkata, FKAT adalah idea Allahyarham Tawfiq yang dikemukakan tujuh tahun lalu sebagai satu inisiatif untuk menambah tarikan daerah itu dan memajukan ekonomi khususnya menerusi kedatangan pelancong luar.

"Selain itu, dengan adanya festival ini kita juga dapat mengeratkan persaudaraan di antara kita.

"Inilah hasrat murni seorang pemimpin yang ingin melihat rakyat di Tawau ini bersatu padu, selain memajukan Tawau supaya dunia kenal di mana Tawau," katanya.

Terdahulu, Musa sekali lagi merakamkan kesedihannya atas pemergian Tawfiq, bulan lalu, yang disifatkannya sebagai seorang tokoh pemimpin berjiwa besar berdedikasi dan bertanggungjawab serta komited dengan amanah dan tugas hingga ke akhir hayatnya.

Sementara itu, Musa berkata, Barisan Nasional (BN) Sabah akan mengedarkan Manifesto BN di seluruh pelusuk negeri itu supaya rakyat dapat melihat dengan jelas aku janji BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Inilah manifesto terbaik dan menyeluruh serta menyantuni setiap rakyat serta mengambil kira kesejahteraan seluruh rakyat.

"Sabah juga tidak ketinggalan dengan adanya manifesto khas, yang memberi tumpuan kepada semua aspek untuk memastikan negeri ini terus maju dan makmur serta mendapat pembelaaan daripada BN di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment