Peniaga diperas ugut lelaki menyamar polis

Wednesday, April 4, 2018

Peniaga diperas ugut lelaki menyamar polis

Peniaga diperas ugut lelaki menyamar polis

KUALA TERENGGANU - Akibat terlalu takut selepas diperas ugut tiga lelaki yang menyamar sebagai polis, seorang peniaga sanggup membayar RM3,000 selain membiarkan kereta Proton Exora dilarikan.

Kejadian peras ugut itu berlaku di Jalan Wakaf Che Kapor, di sini, kira-kira jam 6.45 pagi, Sabtu lalu.

Sebelum kejadian, mangsa berusia 42 tahun yang berada dirumahnya didatangi tiga lelaki tidak dikenali memperkenalkan diri sebagai polis sebelum mengarahkannya membuka kereta Proton Exora yang diparkir dihadapan rumah.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, kemudian, salah seorang suspek mengambil satu papan rokok mengandungi 50 kotak rokok pelbagai jenis didalam kenderaan itu sebelum dibawa ke tepi rumah mangsa.

Jelasnya, suspek seterusnya memaklumkan akan menahan serta merampas kereta peniaga terbabit untuk tindakan selanjutnya kerana kesalahan memiliki rokok seludup.

"Pada mulanya, mangsa dimaklumkan akan dibawa ke Balai Polis Kuala Terengganu untuk siasatan namun dia sebaliknya dibawa ke sebuah bank di Jalan Sultan Mahmud untuk mengeluarkan wang tunai RM3,000.

"Mangsa membuat dua kali pengeluaran wang masing-masing berjumlah RM1,950 dan RM1,050 kira-kira jam 7.30 pagi hari sama dan diarahkan meletakkan wang itu ke dalam beg diberikan suspek sebelum dihantar pulang ke rumahnya.

"Suspek turut memaklumkan kereta mangsa akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut selain kad pengenalannya turut dirampas," katanya.

Idris berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa kehilangan barangan berharga termasuk wang tunai RM3,000, sebanyak 50 kotak rokok pelbagai jenama dan kereta Proton Exora.

Katanya, mangsa yang bimbang keselamatan diri selain tidak berpuas hati dengan kejadian berkenaan membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga untuk tindakan lanjut

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan (KK) kerana pemerasan dan Seksyen 170 KK kerana menyamar sebagai penjawat awam," katanya.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment