Pembabitan rakyat beri impak positif

Sunday, April 8, 2018

Pembabitan rakyat beri impak positif

Pembabitan rakyat beri impak positif

SHAH ALAM: Manifesto Barisan Nasional (BN) mengenai Tadbir Urus Yang Baik dan Penyertaan Rakyat dilihat akan memberi impak positif ke arah memperkasa pentadbiran awam serta sistem politik di negara ini.

Ia berikutan manifesto itu membabitkan penyertaan rakyat dalam membantu kerajaan membuat keputusan penting, sekali gus memenuhi kehendak masyarakat madani dan konsep Baldatun Toyyibatun wa Rabbu Ghafur.

Antara lain, ia menjanjikan BN akan memperkenalkan mekanisme Petisyen Awam dalam talian untuk setiap isu mustahak dan akan mendapat maklum balas kerajaan jika menerima lebih 30,000 sokongan.

Profesor Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Nasrudin Mohamed, berkata teras ke-13 itu yang diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak malam tadi, dianggap yang terbaik.

Katanya, ia mekanisme terbaik, objektif dan tepat dengan keperluan semasa, meliputi semua sisi termasuk BN sendiri.

"Manifesto berkenaan membabitkan komitmen rasmi yang mencakupi penguatkuasaan serta pembudayaan kepenggunaan matang; sekali gus mengangkat keupayaan negara untuk merakyatkan serta memperkasa pentadbiran awam dan sistem politik di negara ini," katanya ketika dihubungi.

Beliau berpendapat, sifat objektif manifesto BN kali ini mampu memukau bakal pengundi pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14) yang akan diadakan pada bila-bila masa.

"Manifesto ini sekali gus memberi tekanan yang berat kepada parti pesaing. Matlamatnya digariskan dengan sangat terperinci.

"Tidak mungkin ia dianggap sebagai gula-gula pilihan raya kerana sebahagian besar inisiatif memerlukan kos kewangan yang tinggi serta mengambil masa sederhana dan panjang.

"Namun, manifesto ini merangkumi nilai instrumental dan terminal yang berupaya menarik perhatian bukan sahaja pengundi setia BN, malah berpotensi membuat pengundi atas pagar mempertimbangkan semula pendirian mereka ketika pilihan raya kelak," katanya.

Sementara itu, pelajar Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi di sebuah universiti awam (UA), Muhammad Amir Syafiq Asri, 26, berkata manifesto BN itu menarik perhatian pengundi muda di negara ini.

"Ia satu langkah terbaik kerana menunjukkan kerajaan telus, sekali gus mencerminkan usaha kerajaan dalam memenuhi keperluan semasa.

"Sebelum ini ramai mempersoalkan ketulusan kerajaan. Apabila manifesto diumumkan, ia sekali gus memperlihatkan kerajaan sedia ada cuba memberi khidmat terbaik dan berkesan," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment