Pemandu lori terkandas semalaman
IPOH - Seorang lelaki tersadai lebih 15 jam sebelum diselamatkan apabila lori dipandu terjunam ke dalam gaung sedalam 9 meter di KM16 Jalan Keramat Pulai, sejak semalam.
Mangsa, Nik Azhar Che Mat, 44, beralamat dari Karak, Pahang ditemui Orang Asli sekitar jam 2 petang tadi dalam keadaan lesu.
Mangsa yang memandu sendirian dipercayai hilang kawalan sekitar jam 11.45 malam sebelum kenderaannya terjunam dan terbalik berhampiran sungai.
Sepanjang tempoh itu, mangsa tidak makan dan minum apabila dilaporkan tidak mampu bergerak.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Mazlan Saari berkata, mangsa ditemui dalam keadaan keletihan dengan beberapa kesan luka di kepala, badan dan kaki.
Menurutnya, anggota kemudiannya menggunakan kerusi roda yang diikat pada tali untuk membawa mangsa naik ke tebing.
"Dia kemudiannya dibawa ke hospital oleh unit kecemasan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, mangsa kini dilaporkan parah akibat patah tulang rusuk.
Katanya, ketika kejadian, kenderaan membawa muatan sayur itu dalam perjalanan dari Ladang Agroto berhampiran sempadan Cameron Highlands - Ipoh menghala ke Klang.
"Keadaan kenderaan rosak teruk dan mangsa kini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
"Tiada tangkapan dibuat setakat ini," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment