Pegawai bank, suami isteri bebas dengan jaminan

PUTRAJAYA: Seorang ketua unit pemasaran dan pembiayaan sebuah bank di sini, serta suami isteri dibebaskan daripada tahanan reman berhubung siasatan pembabitan mereka dalam aktiviti rasuah dengan memalsukan permohonan pembiayaan pada tahun lalu.
Perintah tamat reman terhadap suspek wanita berusia 30 tahun dan suami isteri, masing-masing berusia 36 dan 37 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nadhirah Abd Rahim di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Nadhirah turut menetapkan ketiga-tiga mereka dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjumlah RM9,000 seorang dengan dua penjamin.
Sebelum ini, ketiga-tiga mereka ditahan reman selama lima hari bermula 4 April lalu.
Difahamkan, suspek wanita yang berkhidmat di bank cawangan Putrajaya dipercayai menerima rasuah kira-kira RM150,000 daripada pasangan terbabit sebagai balasan membuat perakuan pengesahan majikan palsu bagi meluluskan satu pembiayaan peribadi pada tahun lalu.
Sumber berkata, pasangan terbabit yang bertugas sebagai pembantu operasi pentadbiran sebuah jabatan kerajaan bersama suaminya bertemu wanita berkenaan untuk mendapatkan pembiayaan peribadi.
Bagaimanapun, sumber itu berkata, permohonan berkenaan tidak lengkap sebelum mereka berpakat untuk membuat satu pengesahan palsu bagi memudahkan permohonan itu diluluskan.
Siasatan awal mendapati, suami isteri terbabit memberi rasuah kepada wanita berkenaan sebagai balasan membuat perakuan pengesahan majikan untuk membolehkan permohonan pembiayaan itu diluluskan.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment