Nenek mohon semak kes

Monday, April 2, 2018

Nenek mohon semak kes

Nenek mohon semak kes

KUALA LUMPUR: Nenek kepada dua kanak-kanak yang kematian ibu bapa dalam kemalangan maut Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE), memfailkan notis permohonan semakan di Mahkamah Rayuan Syariah di sini berhubung arahan terakhir Mahkamah Tinggi Syariah pada 15 Mac lalu. 

Arahan itu adalah untuk memanggil Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 10, dan Nur Firuza Aqila, 7, memberi keterangan sama ada ingin tinggal dengannya atau ibu saudara mereka.

Ketika ditemui media di luar mahkamah, peguam syarie Yusfa Hanis Yusoff yang mewakili nenek kepada dua kanak-kanak itu, Wirda Syamsuddin, 55, memaklumkan pihaknya memfailkan permohonan semakan itu berikutan kanak-kanak terbabit kini dalam jagaan sementara ibu saudara mereka, Yusnidah Husain, 50.

Beliau berkata, pihaknya bimbang berlaku ketidakadilan jika dua kanak-kanak terbabit dipanggil memberi keterangan.

Katanya, notis permohonan semakan itu difailkan pada 22 Mac lalu. 

Sementara itu, pada prosiding hari ini, Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad menetapkan 14 Mei ini untuk sebutan semula kes induk berhubung hak penjagaan kekal (hadanah) dua beradik berkenaan.

Pada 11 Ogos 2015, Yusnidah yang diwakili peguam syarie Mahyuddin Md Zahari diberikan hak penjagaan sementara kedua-dua anak yatim itu.

Yusnidah memfailkan permohonan hadanah pada 2 Jun 2015 mengikut Seksyen 81 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Dalam kejadian 2 Mei 2015, di Kilometer 6.2 arah Hulu Klang ke Jalan Duta, Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya, Nova Safitri Azhari, 25, serta anak mereka, Nur Firuza Annisa yang ketika itu berusia enam bulan, yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Putrajaya, maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan selepas ketiga-tiga mangsa tercampak keluar daripada kenderaan mereka.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment