Lebih 25,000 dijangka ke Festival GegaRia Seremban

Friday, April 6, 2018

Lebih 25,000 dijangka ke Festival GegaRia Seremban

Lebih 25,000 dijangka ke Festival GegaRia Seremban

SEREMBAN: Penampilan selebriti tempatan Negeri Sembilan adalah antara tarikan pengunjung ke Festival GegaRia 2018 #KitaOK di Dataran Centrio, Seremban 2 di sini, esok.

Festival gaya hidup dan hiburan terunggul anjuran Media Prima Bhd (MPB) itu, sudah merekodkan kira-kira 140,000 pengunjung di lima lokasi yang diadakan sebelum ini.

Pengurus Projek Khas dan Perkhidmatan Pelanggan Pengiklanan, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Mohammad Anis Abdullah, berkata edisi keenam Festival GegaRia kali ini dijangka menarik 25,000 pengunjung hingga kemuncak konsert.

Seperti edisi sebelumnya, beliau berkata, festival itu turut dibahagikan kepada lima zon utama termasuk Zon Makan-Makan, Zon Throwback Tunnel, Zon Gaya Hidup, Zon Komuniti dan Zon Hiburan.

"Bermula seawal jam 8 pagi, orang ramai berpeluang menyertai senaman zumba di pentas utama yang dikendalikan jurulatih kecergasan, Izzat Zin, iaitu anak tempatan Negeri Sembilan. Bagi yang membawa anak kecil, pertandingan mewarna turut diadakan pada pagi dengan penampilan istimewa Ejen Ali.

"Pengunjung juga berpeluang mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan kesihatan, keluarga, karier, tips kecantikan, fesyen dan kisah kejayaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada panel jemputan terkenal seperti Datin Diana Danielle dan Naz Rahman, Dr Say, Hanif Shaw, Nana Al-Haleq, Elfira Loy, Faizdickie, Wani Kayrie serta pasangan selebriti Scha dan Awal di Zon Gaya Hidup yang dibuka dari jam 11 pagi hingga 5 petang.

"Menariknya siri jelajah ini membawakan Izzue Islam, Orkes A. Hizadin dan Gerhana Ska Cinta untuk mengadakan persembahan pada petang, selain sesi ramah mesra bersama Reen Rahim, Eyka Farhana dan Bunkface," katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya turut membawa kelainan dengan menampilkan sebuah kontena yang mempamerkan peralatan media dibawa khas dari Sri Pentas untuk pengunjung melihat sendiri sejarah media elektronik sejak mula diperkenalkan.

Mohammad Anis berkata, tarikan lain yang ada di GegaRia termasuk demonstrasi masakan, beraneka juadah enak hidangan food truck makanan segera mahu pun cita rasa tradisi serta pelbagai perkhidmatan untuk masyarakat menerusi Zon Komuniti.

"Bagi penggemar permainan alam maya, kita turut menawarkan permainan seperti Playstation 4, Nintendo dan XBOX untuk hiburan pengunjung yang memberikan pengalaman bermain di alam maya.

"Turut ditawarkan, sukan elektronik bergandingan dengan MyGameOn (MGO) dan Garena untuk membolehkan pengunjung menyertai Fifa Online 3, sekali gus berpeluang memenangi hadiah wang tunai RM10,000," katanya.

Kemuncak acara ialah Konsert #GegaRia di pentas utama yang menampilkan selebriti seperti Noh Salleh, Waris, Kugiran Masdo dan Bunkface.

Orang ramai dijemput memeriahkan festival dan maklumat lanjut mengenai Festival GegaRia boleh didapati di laman Facebook, gogegaria atau Instagram dan Twitter @gogegaria.

Sementara itu, orang ramai terutama golongan muda yang berminat menceburi bidang usahawan juga diminta jangan lepaskan peluang.

GegaRia adalah wadah terbaik untuk belia yang mahu menjadi usahawan digital mendapatkan nasihat dan khidmat pakar bagi menjana pendapatan yang lebih tinggi.

Mohammad Anis berkata, dua gerai iaitu #KitaOk dan #YouCanDuit dibuka dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi memberi khidmat berkenaan.

"Di gerai YouCanDuit, pelakon Erma Fatima yang popular dengan panggilan Mak Cun dan penyanyi Aiman Tino ditampilkan khas bagi memberikan penerangan mengenai e-Usahawan secara lebih terperinci.

"Selain itu, mereka yang berminat dalam bidang usahawan bakal mendapat nasihat pakar berhubung cara pengurusan modal dan perniagaan yang boleh diceburi," katanya.

Slot itu akan bermula jam 7.30 malam hingga 8.30 malam.

YouCanDuit adalah kempen digital untuk meningkatkan pendapatan tambahan rakyat Malaysia melalui inisiatif digital e-Rezeki dan e-Usahawan.

Sepanjang tiga tahun, MDEC berjaya melatih lebih 300,000 usahawan menerusi program e-Rezeki dan e-Usahawan selain menjana lebih RM300 juta.

Mohammad Anis berkata, penganjuran GegaRia di lokasi keenam ini diharap dapat melahirkan lebih ramai usahawan digital.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment