Kuantan makmur hasil perjuangan UMNO

INFRASTRUKTUR
KUANTAN: Nikmat pembangunan dan kesejahteraan dikecapi penduduk daerah ini adalah hasil perjuangan UMNO yang terus membela serta mengutamakan kebajikan rakyat, walaupun kerusi Parlimen itu dimenangi pembangkang sejak dua penggal lalu.
Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat berkata hasil perjuangan parti itu yang tidak jemu turun padang dan mengemukakan keperluan penduduk kepada kepemimpinan kerajaan, pembangunan pelbagai infrastruktur seperti pembinaan jambatan baharu, mengatasi masalah setinggan, isu kesesakan lalu lintas dan perumahan mampu milik dapat dilaksanakan.
"UMNO Bahagian Kuantan banyak memainkan peranan dalam usaha mengatasi masalah setinggan di Tanjung Lumpur, Tanah Putih, Tanjung Api dan Galing. Isu ini dibawa bukan sahaja untuk perhatian kerajaan negeri, bahkan turut disuarakan pada peringkat Pusat dan hasilnya kini boleh dikatakan seluruh kawasan Parlimen ini sudah mencapai setinggan sifar.
"Kita turut mencadangkan pembinaan laluan bertingkat di Jalan Bukit Ubi menghala Indera Mahkota dan pekan Sungai Lembing yang sudah siap tahun lalu. Laluan ini banyak memberikan keselesaan kepada kira-kira 100,000 penduduk daerah ini sekali gus mengurangkan kesesakan aliran trafik di pusat bandar terutama pada waktu puncak.
"Begitu juga jambatan baharu menghubungkan Tanjung Lumpur dan bandar ini yang dalam pembinaan. Pembinaannya sudah tentu akan memberi impak besar kepada penduduk dalam mengurangkan kesesakan trafik, selain pemangkin ekonomi dan pembangunan setempat," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
2,426 unit rumah PR1MA
Wan Adnan berkata, kerajaan juga meluluskan pembinaan 2,426 unit rumah di bawah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di atas tanah seluas 82 hektar dekat Tanjung Lumpur, bagi menyediakan rumah mampu milik khususnya kepada generasi muda yang tinggal di daerah ini.
Beliau berkata, pihaknya turut memohon kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi ruang dan peluang perniagaan kepada golongan muda, khususnya warga Kuantan tanpa mengira kaum, selaras dengan konsep yang diamalkan Barisan Nasional (BN) untuk membawa kesejahteraan kepada semua lapisan masyarakat.

"Kita juga mempunyai hubungan baik dengan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK). Ada antara ahli Majlis (MPK) adalah daripada parti komponen BN dan ini sangat penting untuk memastikan semua aduan itu sampai kepada pihak MPK serta boleh diselesaikan segera.
"Selain itu, UMNO Bahagian juga mempunyai pangkalan data lengkap mengenai jumlah penduduk miskin yang memerlukan bantuan, dan apa sahaja berkaitan kebajikan bagi memudahkan kami menyalurkan bantuan atau mengambil tindakan susulan," katanya.
Info
- Jambatan kedua sepanjang 451 meter menghubungkan bandar Kuantan dengan Tanjung Lumpur dibina dengan kos kira-kira RM181 juta dijangka siap tahun hadapan.
- Projek pembinaan jambatan baharu itu bermula daripada persimpangan Jalan Pintas Bukit Setongkol dan Jalan Tanah Putih, di sini melalui Jalan Sri Kemunting 2 seterusnya merentasi Sungai Kuantan dan berakhir di Jalan Tanjung Lumpur
- Peratusan kaum di Parlimen Kuantan Melayu 66 peratus; Cina 30 peratus ; India 3.44 peratus ; Lain-lain 0.5 peratus
. Â Â Â
Senarai pecahan projek PR1MA Pahang (unit)
- Kuantan - 7,201
- Bera - 1,032
- Lipis - 542
- Bentong - 280
- Temerloh - 678
- Pekan - 1,680
- Maran - 1,400
- Jerantut - 100
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment