Kereta dilarikan di stesen minyak

Sunday, April 1, 2018

Kereta dilarikan di stesen minyak

Kereta dilarikan di stesen minyak

KUALA KUBU BHARU: Seorang lelaki kerugian hampir RM60,000 apabila kereta PERODUA Myvi, miliknya dilarikan penjenayah bersenjatakan parang ketika sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Kalumpang, Hulu Bernam, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, suspek lelaki menaiki motosikal itu turut melarikan tiga telefon bimbit berjenama dan wang tunai RM1,000 milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bhak Pai, berkata suspek terbabit dilaporkan datang ke stesen minyak berkenaan secara bersendirian.

"Setakat ini, kita dapati suspek terbabit bersenjatakan sebilah parang, namun identitinya belum diketahui sama ada warga tempatan atau warga asing.

"Semakan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Tanjung Malim (dalam kawasan Hulu Bernam) mendapati suspek sudah keluar ke arah Tanjung Malim, Perak," katanya.

Beliau berkata, suspek turut meninggalkan motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangnya di lokasi kejadian selepas melarikan kereta mangsa.

"Pemeriksaan yang dijalankan turut mendapati motosikal itu didaftakan atas nama seorang wanita warga tempatan, beralamat di Kuala Krai, Kelantan" katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment